Air kumbahan dari rumah mengalir keluar di depan rumah, mengikut "parit yang terbentuk secara semulajadi". Lumut tumbuh di sekelingnya, menunggu motorsikal yang bakal melaluinya dengan risiko yang ditanggung sendiri. Arus pembangunan yang deras pada hakikatnya terhenti di pelusuk Kuching ini.
Sarawak sebagai negeri yang mempunyai permukaan paling luas di Malaysia, kaya dengan sumber semula jadi. Rakyat seharusnya dimanfaatkan dari negeri pengeksport petroleum dan balak yang terbesar di Malaysia ini. Namun, sehingga tahun 2007, kadar kemiskinan Sarawak masih kekal pada paras 4.2%, lebih tinggi daripada purata negara yang mencatat 3.6%. Dari segi purata pendapatan keluarga, Sarawak terus menjunam, dari kedudukan ke-4 pada tahun 1990, kepada ke-6 pada 1999, ke-7 pada 2004 dan ke-8 pada 2007.
Kerajaan dominan gagal bantu yang lemah
Di kalangan bumiputera bukan muslim, walaupun Dayakism amat lantang setika dahulu, namun keadaan yang dihadapi Iban, Bidayuh dan Melanau lebih memedihkan.
Mengapa negeri yang kaya, ditambah pula tindakan afirmatif yang dilaksanakan sekian lama, malah kerajaan dominan yang tidak pernah dinafikan majoriti dua pertiganya dalam DUN - gagal berdepan dengan masalah kemiskinan yang berlanjutan selama 40 tahun? Mengapa Sarawak menjadi sedemikian rupa pada hari ini? Saya menganggap ia berpunca daripada kekurangan "semak dan imbang", sehingga kerajaan yang berkuasa diculik kumpulan berkepentingan - suara dan kuasa rakyat diperlekehkan.
Sumber yang lumayan dikawal sepenuhnya oleh kerajaan yang dominan. Maka pemerintah menjadi rebutan pelbagai pihak. Dalam keadaan di mana tidak wujudnya "saling mengimbangi" dalam sistem, adalah mudah untuk kerajaan menyalahgunakan kuasa, dan membuka ruang kepada rasuah. Pada masa yang sama, keadaan ini membuka pintu kepada pihak yang mencari peluang merentir (rent-seeking).
Sumber dipunggah dengan cepat
Seandainya kumpulan merentir ini telah menjadi puak berkepentingan sama dengan pemerintah, maka mereka yang memunggah harta awam untuk menjadi milikan dirinya akan mempercepatkan langkah untuk memperkayakan dirinya. Jadi, pemerintah akan tumpu kepada bidang pembalakan, perlombongan, pembinaan yang boleh mendatangkan kepentingan dalam masa singkat, menerusi jual beli tanah, lombong, balak dan sebagainya; sebaliknya mengabaikan dasar yang boleh membawa transformasi ekonomi masyarakat dalam jangka panjang- jauh lagi dasar seperti pendidikan, kesihatan, penyelidikan yang disifatkan sebagai pelaburan jangka panjang.
Maka pembangunan Sarawak dipengaruhi kumpulan yang merentir, bukan sahaja menjurus kepada tumpuan kerajaan untuk terikut-ikut dengan pengindustrian, malah mengabaikan pembangunan pertanian, di samping menggalakkan pembalakan.
Pertanian diabaikan
Pada tahun 1970-an, dua pertiga daripada rakyat Sarawak terlibat dalam pembalakan, perikanan dan pertanian. Jadi, pembangunan dan pembalakan menjadi dasar yang penting untuk meningkatkan kehidupan rakyat. Dalam Rancangan Malaysia pertama (1966-1970), kerajaan Sarawak memperuntukkan 32% atau bersamaan RM86.7 juta untuk belanjawan pertanian. Tetapi, sehingga Rancangan Malaysia Ketiga (1976-1980), walaupun 56% daripada populasi berkecimpung dalam sektor pertanian, namun peruntukan dikurangkan secara dramatik kepada 8%. Keputusan untuk mendahulukan pembalakan dan kemudiankan pertanian menjadikan sektor perikanan dan penanaman secara kecil-kecilan berada dalam kesempitan.
Jadi, sementara Ketua Menteri dan BN Sarawak berpeluk dengan tycoon pembalakan, rezeki dan pembangunan ratusan ribu petani telah diabaikan. Apa yang harus "ditransformasikan" tidak pula ditransformasikan. Lebih-lebih lagi, dengan gejala rasuah yang semakin berleluasa, ketirisan berlaku di mana-mana, dan ekonomi Sarawak gagal mara ke depan.
Jadi, SUPP yang menjadi "pelindung" untuk Ketua Menteri Sarawak, kini pula melaungkan slogan "transformasi". Mereka lupa bahawa dirinya punca kepada akibat yang dihadapi sekarang. Pengundi Sarawak seharusnya merenungi, mengapa pula negeri yang kaya ini akan menjadi sedemikian rupa pada hari ini?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan