Isu tanah adat yang semakin hangat di kalangan komuniti bumiputera Sarawak mungkin mengundang kemenangan untuk PKR di beberapa kawasan DUN. Di DUN Bengoh, pembinaan empangan, pembalakan, pencabulan tanah adat, dan janji yang tidak ditunaikan ADUN asal, Jerip Susil, telah mencungkil ketidakpuasan pengundi - yang mungkin memberi laluan kepada PKR untuk menawan kawasan ini.
Seorang bekas pemimpin BN tempatan memberitahu MerdekaReview, Jerip Susil telah lapan tahun menyandang jawatan ADUN. Namun, janji-janjinya kepada pengundi belum ditunaikan, lantaran peruntukan kerajaan yang tidak sampai-sampai lagi ke tangan. Keadaan ini menimbulkan ketidakpuasan pengundi, dan mempertikaikan integritinya. Janji-janji yang ditaburkan berlainan mengikut kampung, termasuk pembinaan jalan, bekalan air dan sebagainya.
Pembinaan empangan Bengoh
Setibanya wartawan di Kampung Bengoh, didapati pembinaan Empangan Bengoh telah dimulakan. Orang luar dihalang untuk memasuki kawasan tersebut.
Penduduk Bidayuh yang akan dipindahkan ke kampung Semadang berasal dari Rejoi, Semban Teleg, Paing Bojong dan Taba Sait. Kini, sebidang tanah di Semadang telah dibersihkan untuk kegunaan penempatan semula Empangan Bengoh. Kebetulan wartawan sampai ke situ pada waktu hujan. Sebaris bangunan baru yang dipercayai sebagai pejabat kontraktor telah disiapkan. Kantin juga dibina bersebelahan dengannya.
Selain penduduk dari empat kampung tersebut, penduduk di Kampung Semadang juga tidak berpuas hati kerana menganggap tanah adat mereka diceroboh, apabila melihat tanah itu dibersihkan untuk penempatan penduduk dari kampung lain. Malah, mereka perlu berkongsi tanah dan sumber mereka dengan penduduk kampung lain pada masa depan.
Selain itu, kampung Krokong juga menghadapi masalah pembalakan dan pencerobohan tanah adat, dan kaum Bidayuh mungkin mengambil kesempatan untuk meluahkan ketidakpuasan mereka dalam PRN Sarawak 2011.
Seorang pemilik kedai runcit di Kampung Krokong memberitahu MerdekaReview, masalah pencerobohan tanah semakin ketara, terutamanya beberapa tahun kebelakangan ini. Rakyat mulai sedar, dan beliau juga meminjam tanah lapang di sebelah kedainya kepada PKR untuk menganjurkan ceramah.
Di samping itu, kilang simen pula mencemarkan kawasan di sekitar Kampung Mambong. Kelihatan hutan telah digondolkan. Wartawan dimaklumkan bahawa kilang ini bertapak di situ sejak tahun 1994, dan pekerja tempatan hanya mendapat gaji harian sebanyak RM15. Tapi, penduduk di situ terpaksa bernafas dalam suasana debu yang berterbangan.
Isu agama menyentuh hati
Penganut agama di kawasan Bengoh terbahagi kepada Catholic, SIB, Anglican dan Methodist. Bekas pemimpin BN tempatan tersebut agak tersentuh apabila isu Alkitab dibangkitkan. Beliau menganggap kejadian penahanan Injil Bahasa Malaysia adalah tidak adil untuk penganut Kristian.
Terdapat 21,995 orang pengundi berdaftar di DUN Bengoh, terdiri daripada Bidayuh (66.24%), Cina (26.35%), Melanau (6.61%), Iban (0.1%) dan lain-lain (0.69%). Kebanyakan Biadayuh adalah penganut kristian.
Pada PRN Sarawak 2006, Jerip Susil memperolehi 7,540 undi, menewaskan calon SNAP Mangan anak Ngandok (3,552 undi) dengan majoriti 3,988 undi. Bagaimanapun, nisbah mengikut kaum pada ketika itu adalah 65.2% Bidayuh, 28.6% Cina, 5.5% Melanau dan 0.7% lain-lain.
Percakaran antara parti komponen BN
Apa yang menarik, terdapat empat orang calon di DUN Bengoh. Calon SNAP, Richard @Peter A/L Margaret adalah bekas penolong Jerip Susil yang berbalah dengan Jerip sebelum ino. Calon bebas Wejok ak Tomik adalah Setiausaha Pemuda PBB Bengoh pada asalnya, beliau bertanding kerana tidak berpuas hati dengan keputusan BN meletakkan Jerip Susil sebagai calon.
Seperti biasa, BN akan melihat kawasan bumiputera sebagai kubunya. Namun, kenyataan calon PKR Willie anak Mongin menyebut, angin perubahan telah bertiup kencang di kawasan Dayak. Orang yang menghadiri ceramah Pakatan Rakyat semakin ramai beberapa hari ini, malah ada orang tempatan yang menghulurkan bantuan.
Faktor-faktor di atas tidak memihak kepada BN. Namun, faktor penentu adalah peratusan pengundian dan keadaan penyogokan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan