Mengikut pengamatan wartawan di kawasan pinggiran Kuching, emosi ketidakpuasan terhadap kerajaan telah lama terpendam, sama ada disebabkan perkhidmatan wakil rakyat yang tidak memuaskan, amalan kronisme, mahupun tekanan kehidupan yang semakin memberat. Sesungguhnya, pembangkang mempunyai peluang yang cerah seandainya berjaya mengeksploitasikan sentimen ini. Lebih-lebih lagi, pemimpin Pakatan Rakyat mungkin dilihat mampu menawarkan alternatif, apabila mereka mempromosikan prestasi kerajaan negeri PR kepada penduduk tempatan.
Di samping itu, situasi yang tidak memihak kepada Barisan Nasional, khususnya di kawasan bandar telah mengundang penyeberangan BN dari persekutuan. Kemasukan Pengerusi Barisan Nasional Najib Razak mengundang ketidakselesaan BN Sarawak, apatah lagi cuba memberi kata putus dalam isu "kekal-undur"-nya Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri. Sebagaimana yang diketahui, pasukan kempen yang "diimport" dari Semenanjung telah mengundang ketidakpuasan pasukan kempen tempatan, sehingga memberi kesan dalam operasi jentera BN.
Ketika dihubungi MerdekaReview, Pensyarah Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak Faisal Syam Hazis berkata, beliau yang menjejak langkahnya ke beberapa kawasan Melanau/Melayu pada beberapa hari ini merasai emosi ketidakpuasan terhadap kerajaan. Ia tidak semestinya menyasarkan BN, tetapi mungkin pemimpin tempatan BN, katanya.
Faisal berkata, seorang penduduk Saribas keturunan Melanau/Melayu memberitahunya, kali ini mereka perlu mengundi pembangkang, agar suara mereka boleh disampaikan ke dalam DUN. Untuk Faisal, kata-kata ini amat bernilai apabila keluar dari bibir seorang penduduk Melayu di kawasan desa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan