Salah satu laporan tahunan yang diserahkan kepada Parlimen kali ini ialah Laporan Tahunan 2010 Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM). Laporan ini berkait rapat dengan PRN Sarawak ke-10.
Laporan Tahunan 2010 SUHAKAM merupakan laporan ke-10 yang wajib diserahkan oleh SUHAKAM kepada Parlimen menurut Seksyen 21 (1) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597).
Semenjak penubuhannya pada tahun 1999, SUHAKAM telah menyerahkan laporan tahunannya kepada Parlimen. Malangnya, Laporan Tahunan SUHAKAM tidak pernah dibahaskan dalam dewan meskipun seruan demi seruan dan desakan satu per satu disuarakan oleh pelbagai pihak semenjak laporan tahunan yang pertama dikemukakan oleh SUHAKAM.
Sesungguhnya, pengamatan penulis mendapati bahawa ratusan laporan tahunan diserahkan kepada parlimen setiap tahun. Biarpun laporan-laporan tersebut bertimbun bagai bukit bilangannya tetapi jarang-jarang sekali ahli parlimen diberikan peluang untuk membahaskannya dalam dewan.
Menurut kajian KPRU, pada tahun 2009, sebanyak 215 laporan tahunan, penyata dan risalah dalam pelbagai bentuk telah dikemukakan dalam Dewan Rakyat dan diserahkan kepada ahli parlimen masing-masing pada tahun 2009, dan angka ini melonjak kepada 251 pada tahun 2010. Laporan Tahunan SUHAKAM adalah antara laporan penting yang dikemukakan tetapi tidak pernah dibahaskan!
Sepanjang tahun 2010, Pejabat SUHAKAM di Sarawak telah menerima 51 aduan dan 27 atau 53% daripadanya merupakan aduan berkaitan tanah seperti berikut:
Aduan yang diterima Pejabat SUHAKAM di Sarawak, 2010
No | Jenis Aduan | Jumlah Kes | Kekerapan (%) |
1 | Hak Tanah Adat | 27 | 52.94% |
2 | Polis | 11 | 21.57% |
3 | Pekerjaan | 4 | 7.84% |
4 | Dokumen Pengenalan diri | 2 | 3.92% |
5 | Pendidikan | 1 | 1.96% |
6 | Lain-Lain | 6 | 11.77% |
Jumlah | 51 | 100% |
Dalam kalangan aduan berkaitan tanah, kegagalan Kerajaan Negeri Sarawak pimpinan Taib Mahmud mengiktiraf tanah adat serta kegagalan memberikan hak milik kepada pemilik tanah dan pencabulan hak tanah adat oleh syarikat pembalakan merupakan aduan utama yang diterima oleh staf Pejabat SUHAKAM di Sarawak.
Sementara itu, pemilikan tanah secara tradisi dilaksanakan melalui amalan "pemakai menoa" dan "pulau galau" oleh kaum Iban. Walau bagaimanapun, amalan-amalan tradisi masyarakat Orang Asal ini tidak diiktiraf oleh Kanun Tanah Sarawak 1958.
Dengan kata lain, interpretasi berlainan terhadap peruntukan di bawah Kanun Tanah Sarawak 1958 ke atas hak tanah adat telah menjejaskan hak masyarakat Orang Asal yang sering kali terpaksa berdepan dengan masalah kehilangan tanah adat.
Justeru, penubuhan Suruhanjaya Tanah seperti yang dijanjikan oleh Pakatan Rakyat jika diberikan mandat memerintah Negeri Sarawak adalah wajar dan penting supaya dilakukan semakan dan seterusnya pindaan terhadap peruntukan yang berkaitan dalam Kanun Tanah Sarawak 1958 untuk mengiktiraf secara jelas kaedah hak pemilikan tanah oleh masyarakat Orang Asal.
Sesungguhnya, pindaan Kanun Tanah Sarawak 1958 merupakan salah satu cadangan yang dikemukakan dalam Laporan Tahunan 2010 SUHAKAM. Malahan SUHAKAM menyarankan supaya Kerajaan Negeri Sarawak menjalankan tinjauan parameter untuk memastikan sempadan yang jelas bagi Rizab Komunal Orang Asal dan memberi geran tanah kepada pemilik tanah adat.
Ringkasnya, selagi Kerajaan Barisan Nasional (BN) menduduki Putrajaya sementara Petrajaya dikuasai Taib Mahmud, Laporan SUHAKAM tidak akan dibahaskan dalam dewan dan saranan-saranan penting yang dikemukakan oleh SUHAKAM akan terus ditengelamkan dalam timbunan laporan tahunan tanpa disedari peri pentingnya laporan sedemikian dalam membawa harapan baru kepada masyarakat Malaysia amnya dan memungkinkan perubahan dasar dan perundangan yang dinanti-nanti oleh masyarakat Orang Asal selama berdekad lamanya.
Meskipun samseng dan kekerasan amat berleluasa di negeri Sarawak, tetapi Kerajaan Negeri Sarawak pimpinan Taib Mahmud berpura-pura menganggap kejadian ini terpencil dan luar biasa. Begitu juga, meskipun laporan pertubuhan bukan kerajaan yang berpangkalan di Switzerland, Tabung Bruno Manser (BMF) telah mengeluarkan senarai 49 firma di empat benua di seluruh dunia yang didakwanya berkaitan dengan Taib Mahmud dan keluarganya, malahan pendedahan satu per satu dilaporkan dalam Sarawak Report berhubung skandal yang melibatkan Taib Mahmud, Kerajaan BN pimpinan Najib Razak juga berpura-pura menganggap tidak perlu diambil tindakan.
Di bawah RUU ini, Maksud B.12 yang memperuntukkan RM8 bilion atau secara tepat RM8,020,353,100 kepada Kumpulan Wang Terkanun tanpa butiran terperinci dan dicaj sebagai perbelanjaan telah menimbulkan pelbagai kemusyikilan. Lebih-lebih lagi apabila terdapat khabar angin bahawa Mesyuarat Dewan Rakyat seterusnya yang dijadualkan bermula pada 13 Jun 2011 akan diawalkan dan diadakan dalam bulan Mei 2011, nampaknya pilihan raya umum ke-13 (PRU Ke-13) mungkin diadakan dalam bulan Jun 2011 manakala peruntukan RM8 bilion di bawah Maksud B.12 mungkin berkait rapat dengan perbelanjaan PRU Ke-13.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan