Ramai yang akan bersetuju bahawa suasana di bandar-bandar utama Sarawak kini tidak berbeza dengan suasana PRU ke-12 pada tahun 2008, yang akhirnya mencetuskan "tsunami politik" untuk menafikan majoriti dua pertiga BN, selain empat kerajaan negeri beralih tangan kepada pembangkang (tidak termasuk Kelantan yang pada asalnya di bawah PAS). Antara persamaannya yang mungkin paling menakutkan BN adalah wang dermaan yang dikutip dari khalayak ramai yang menghadiri ceramah politik - sehingga mencatat puluhan ribu ringgit Malaysia - dibaca sebagai tanda rakyat komited kepada agenda perubahan.
Najib akhirnya memberi jaminan bahawa Taib Mahmud akan berundur selepas PRN Sarawak, tanpa menyebut tarikh mahupun menamakan penggantinya. Pengumuman sedemikian tidak memberi jaminan yang lebih daripada pengumuman sebelum terbubarnya DUN Sarawak, selain mengulanginya buat kali kedua.
Jaminan yang mengundang malapetaka
Pakatan Rakyat, terutamanya DAP semestinya mengambil kesempatan untuk mengasak agar BN membuat pengumuman terperinci, termasuk jadual waktu Taib Mahmud mengundur, penggantinya dan sebagainya. Malah, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution menunjukkan satu keratan akhbar pada 7 November 1995 yang memetik Taib Mahmud bahawa beliau akan berundur dalam masa lima tahun. Kesemua ini cukup untuk menyanggah jaminan daripada Najib dan Taib Mahmud.
Keduanya, pengumuman Najib boleh ditafsir sebagai "campur tangan dari Semenanjung", sentimen yang cuba diwujudkan sepanjang kempen BN Sarawak untuk menangkis serangan PR. Sentimen inilah yang dipermainkan supaya rakyat menolak parti politik dari Semenanjung. Namun, senjata ini sekarang mungkin makan tuannya kerana Najib dari Semenanjung dilihat bersuara untuk menentukan kekal-undur Ketua Menteri Sarawak.
Pergolakan kuasa dalaman
Lebih ketara, pengumuman ini semestinya menempangkan Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri, dan membuka lembaran baru pergolakan kuasa dalam PBB sendiri. Keadaannya mungkin sikit berbeza, namun ada persamaannya jikalau dibandingkan dengan Gerakan di Pulau Pinang pada tahun 2008. Setelah Presiden Gerakan Koh Tsu Koon berundur dari jawatan KM Pulau Pinang untuk bertanding di kawasan parlimen, tanpa menamakan penggantinya, maka berlakulah pergelutan dalaman antara beberapa orang calon yang melihat dirinya layak untuk menyandang jawatan KM.
Lanskap politik kemudiannya...
Jikalau keputusan PRN Sarawak 2011 menyaksikan pengundi Cina tetap memihak pembangkang, maka senario ini bakal meletakkan Najib dalam keadaan dilema. Mencurahkan lebih usaha untuk memikat hati pengundi Cina, atau mengambil langkah drastik untuk "menghukum" pengundi Cina yang tidak menyokong BN - semestinya akan menjadi perbalahan pendapat dalam UMNO dan BN sendiri. Silap selangkah Najib dalam membuat keputusan bakal meletakkan tanda noktah pada tempoh jawatan PM-nya.
Namun demikian, Najib semestinya sedar bahawa pendekatan sedemikian tidak boleh dikekalkan selama-lamanya. Sebelum PRU ke-12, BN menang dalam PRK Machap dan Ijok, setelah menabur "gula pilihan raya" yang bernilai puluhan juta ringgit. Akhirnya kemenangan itu terbukti hanyalah pembohongan yang dibeli dengan wang ringgit.
Demikianlah dilema yang dihadapi Najib Razak, atau lebih tepat sebenarnya, kebuntuan yang dihadapi Barisan Nasional sekarang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan