Pengumuman Perdana Menteri Najib Razak bahawa Taib Mahmud akan berundur selepas PRN Sarawak dilihat bercanggah dengan kenyataan Taib Mahmud sendiri yang mendakwa "akan berundur beberapa tahun lagi", semalam. Jelas, kedua-dua mereka menyanggah kenyataan antara satu sama lain, demikianlah yang disifatkan Setiausaha DAP Sarawak, Chong Chieng Jen.
"Selepas Najib berkata demikian, Taib Mahmud pula berkata, akan berundur selepas beberapa tahun, dan bukannya selepas pilihan raya negeri. Mesejnya jelas, Taib mahu kekal. Pendirian Najib sama ada mahu Taib berundur masih kabur, tapi Najib mahu menang dalam pilihan raya. Namun, Taib mahu kekal, tidak mempedulikan apa keputusan pilihan raya."
Naib Pengerusi DAP Pusat ini menyimpulkan, "Satu-satunya situasi yang memastikan Taib berundur adalah mengalahkan beliau."
Khalid: Najib mengakui Taib sebagai liabiliti
"Konflik yang besar di antara kedua-duanya. Sering kali mereka berkata Pakatan Rakyat bercakaran sesama sendiri. Konflik yang besar di antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri Sarawak, ia tidak boleh diselesaikan dengan mudah. Setiap daripada mereka mempunyai agenda tersendiri. Sama ada anda mempercayai Najib, atau Taib Mahmud," kata AJK PAS Pusat ini.
Namun, Khalid Samad menganggap Taib jelas menolak kerajaan persekutuan dan rakyat Sarawak, dan mengambil keputusan untuk kekal berkuasa, sehingga dirinya merasakan sudah tiba masa untuk berundur.
Taib membalas tamparan Najib semalam, apabila mendakwa dirinya akan berundur beberapa tahun selepas ini. Bagaimanapun, Chong Chieng Jen menganggap tamparan Najib lebih menyengitkan, berbanding Taib yang hanya membalas dengan cara yang lebih tersirat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan