Merujuk kepada siapa yang akan kalah dan menang dalam PRN Sarawak pada kali ini, kita boleh mengandaikannya kepada empat kemungkinan utama. Pertama, BN berjaya mempertahankan majoriti dengan selesa. Kedua, BN hilang majoriti 2/3 tetapi masih membentuk kerajaan. Ketiganya, Pakatan Rakyat berjaya merampas Sarawak dari BN dan keempat, wujudnya kerajaan campuran di Sarawak. Daripada empat kemungkinan yang dikemukakan di sini, salah satu di antaranya adalah pasti.
Berdasarkan penelitian yang dilakukan, kejayaan BN mempertahankan kerusi di Kerdau dan Merlimau sama sekali tidak boleh dijadikan kayu ukur di PRN Sarawak. Ini kerana situasi politik, budaya, agama dan geografi di Sarawak jauh sekali berbeza. Walaupun sebelum ini Sarawak merupakan kawasan "core" yang memberi laluan mudah kemenangan untuk BN, kini, landskap politik telah mula berubah, perubahan pertama dilihat berlaku semasa Pilihanraya Kecil di Sibu lepas yang menyaksikan kemenangan calon dari DAP.
Taib Mahmud: Dilema tanah adat dan kebangkitan Dayak
Sebelum itu, benarkan saya untuk memetik tulisan Mior Kamarul Shahid di dalam bahagian Rencana, Berita Minggu 10 April 2011 muka 26 bertajuk Persoalan Siapa Akan Menang. Antara lain beliau menulis, "Isu Taib tidak sepatutnya timbul jika pembangkang melihat cermin mengenai status dan latar belakang barisan kepemimpinan mereka sendiri. Mengapa tempoh perkhidmatan Taib selama 30 tahun dipertikaikan sedangkan ia tidak berbeza dengan beberapa pemimpin pembangkang.."
Persoalannya, apakah Taib telah memerintah Sarawak dengan baik? Pasti soalan ini akan mengundang pelbagai reaksi. Sama ada pro maupun kontra, itu tidak penting. Perkara yang harus diberi penekanan sekarang adalah fakta dan realiti yang sedang dan telahpun berlaku.
Selain di atas nama pembangunan, mungkinkah jawapan di sebalik masalah Tanah Adat ini berada di balik isu pembalakan haram yang berleluasa. Isu pembalakan haram juga bukanlah sesuatu yang baru. Malah, dalang di sebalik syarikat-syarikat pembalakan ini juga dikaitkan dengan keluarga dan teman-teman Ketua Menteri Sarawak ini.
Isu pembalakan haram ini pula telah menyebabkan timbulnya isu-isu lain terutamanya yang melibatkan alam sekitar dan ancaman besar kepada penempatan masyarakat Dayak yang menjadikan hutan sebagai ruang penempatan dan sumber makanan. Begitu juga, ia telah mengancam populasi flora dan fauna yang telah hidup sejak lebih 130 juta tahun lampau. Kita juga telah digemparkan bagaimana samseng-samseng yang mewakili syarikat balak telah mencederakan Minggat Anak Nyakin dan anak lelakinya Juan Anak Minggat baru-baru ini berikutan bantahan mereka terhadap pencerobohan. Begitu juga dengan aduan ugutan yang dilakukan mereka terhadap penduduk kampung.
Dalam isu Tanah Adat ini rakyat terus bertanya. Di manakah pihak-pihak berwajib dalam menguatkuasakan undang-undang? Di manakah peranan pihak Polis dalam menangani jenayah yang dilakukan oleh samseng-samseng pembalak ini? Apakah ada perlindungan diberikan kepada penduduk kampung yang diancam pencerobohan dan ugutan? Apakah ada campur tangan politik dalam isu pencerobohan tanah adat ini? Jelas, isu Tanah Adat ini benar-benar telah pun menjadi duri dalam daging pentadbiran Taib Mahmud.
Negeri kaya rakyat miskin
Tidak dapat dinafikan dalam tempoh 30 tahun memegang tampuk kuasa pemerintahan di Sarawak, kerajaan negeri di bawah Taib Mahmud telah berjaya membawa pembangunan dan pembaharuan. Kita juga sering dimaklumkan bahawa kerajaan telah memperuntukkan berbilion ringgit dari tahun ke tahun untuk projek pembangunan negeri dan sebagainya. Kita semestinya bersetuju. Malah pada tahun ini Sarawak memperuntukkan RM4.974 billion dalam belanjawannya. Sejumlah RM3.63 billion yang mewakili 73% daripadanya diperuntukkan untuk pembangunan manakala selebihnya RM1.344 billion untuk tujuan mengurus.
Persoalan sebegini timbul kerana rakyat semakin celik. Lihat sahaja statistik pada tahun 2009, bagaimana sejumlah besar 70% penduduk rumah panjang masih belum menikmati bekalan air bersih, pada masa yang sama dibelenggu dengan masalah jalan raya dan elektrik yang serius walhal pendapatan negeri Sarawak ketika itu yang mencatatkan hampir RM3.726 bilion.
Harapan Menggunung Bumi Kenyalang
Setelah kita ketahui sedikit sebanyak perkara melibatkan masalah-masalah utama di Sarawak, kita mungkin tertanya-tanya adakah pengundi di Sarawak untuk kali ini berani dan bersedia melakukan perubahan? Dan sekiranya ya, apakah perubahan ini bakal menjadikan Sarawak lebih maju dan baik?
Kempen pilihanraya pada kali ini benar-benar panas. BN menjanjikan pembangunan berterusan, PR pula memusatkan kempen kepada isu-isu integriti dan urus tadbir yang baik. Pada masa yang sama PR turut berjanji untuk menyelesaikan masalah-masalah domestik yang sedia ada.
Buktinya, lihatlah bagaimana ceramah Pakatan Rakyat mendapat sambutan luar biasa di kalangan masyarakat setempat. Fenomena ini sedang berlaku di mana-mana dan semestinya hal ini menggusarkan kepimpinan BN. Apa yang lebih menarik, PAS yang selama ini dipandang sepi di Sarawak mula mendapat tempat terutama di kalangan orang muda. Lebih-lebih lagi apabila PAS meletakkan calon-calon mereka dari kalangan golongan profesional dan wanita. Malah, hampir di mana-mana sekalipun, sambutan terhadap calon dan kempen Pakatan Rakyat mendapat respon positif. Berbeza dengan pilihanraya sebelum ini.
Paling penting adalah mulakan langkah pertama: ketahui sebab untuk berubah dan lakukannya. Lihatlah bagaimana keberkesanan pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah. Good governance sebagai paksi utama dalam memastikan pentadbiran kerajaan berintegriti dan berkesan.
Apakah angin perubahan yang sedang bertiup di Sarawak ini mempunyai momentum yang sama sepertimana PRU 2008 yang telah kita lalui? Sesuatu yang hebat mungkin akan berlaku. Kita mengharapkan perubahan berlaku dalam ruang demokrasi yang adil dan telus demi masadepan kita semua: meniti hari-hari gemilang sebagai sebuah bangsa Malaysia yang demokratik dan progresif. Buat Taib dan BN, apakah masih ada jalan untuk membersihkan nama dan mempertahankan kuasanya?
Kononnya rakyat penting. Diutamakan. Sebab khidmat kepada si pengundi.
BalasPadamDi N. 6 Tupong seluruh orang Petra Jaya seksa oleh Daud Abdul Rahman ...
n-6-tupong-rakayt-tidak-didahulukan.html