Hanya peralihan sokongan Iban kepada DAP akan meningkatkan peluangnya untuk memenangi 15 kerusi yang dipertandingkan, kata Liew Chin Tong ketika mengulas kenyataan SUPP bahawa seandainya DAP memenangi 15 kerusi yang dipertandingkan, maka kesemuanya dalah kawasan majoriti Cina.
"Kami memerlukan sekurang-kurangnya 25% atau 30% undi Iban, barulah kami menaruh harapan untuk mengambil 15 kerusi. Malah di Sibu, seandainya kami tidak mempunyai lebih daripada 30% undi Iban, kami gagal menang keempat-empat DUN di bawah Sibu," ulas Liew Chin Tong.
Menurut Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng yang juga calon DUN Bukit Assek, DAP memperolehi sokongan kira-kira 22% daripada pengundi Iban dalam PRK Sibu 2010, maka mereka masih memerlukan 8% untuk memenangi kesemua 15 kerusi. Ahli parlimen Sibu ini berkata, mereka mendapat sambutan yang agak baik dari kawasan orang asli, jadi tidak menolak kemungkinan bahawa sokongan terhadap DAP akan meningkat.
Sokongan Iban untuk PKR juga meningkat
Seandainya DAP mampu meningkatkan sokongan Iban kepada 30% atau lebih, maka undi kepada PKR berkemungkinan lebih daripada DAP. "Jikalau DAP mampu mendapat 30% undi Iban, maka DAP bukan hanya menang di kawasan Cina. Dan kerusi lain BN juga akan tumbang. Dengan kata lain, penafian dua pertiga atau membentuk kerajaan baru di Sarawak menjadi sesuatu yang mungkin," kata Liew Chin Tong.
Beliau berkata, Taib tidak tahu bagaimana untuk berundur, gagal menentukan penggantinya, malah tidak menentukan masanya walaupun digesa Perdana Menteri. Jadi, PR perlu menafikan majoriti dua pertiga atau menumbangkan BN, barulah Taib Mahmud boleh berundur dari jawatannya.
Selain itu, ketika ditanya isu Baru Bian sebagai Ketua Menteri seandainya PR menang dalam PRN Sarawak, Wong Ho Leng berkata, rancangan mereka kekal, iaitu Baru Bian tetap calon utama seandainya PR berjaya membentuk kerajaan negeri. Namun demikian, Baru Bian perlu juga menang di kawasan DUN Ba'kelalan.
"Jikapun kami (DAP) menang 15 kerusi, kita masih memerlukan 21 kerusi lagi. Jika DAP mendapat 15 kerusi, PKR 15, kami masih memerlukan enam kerusi dari PAS. Namun kemungkinan ini rendah." Wong berkata PKR perlu memenangi kerusi yang lebih daripada DAP untuk Baru Bian menjadi Ketua Menteri. Bagaimanapun, beliau enggan menyebut "mustahil", sekadar berkata, "Kami telah bersedia."
SUPP cuba raih undi simpati
Wong Ho Leng seterusnya berkata, SUPP sendiri mengakui bahawa keadaan mereka semakin meruncing, melalui iklan yang dimainkan. Wong berkata SUPP kini cuba meraih undi simpati daripada khalayak umum, termasuk menangis ketika berucap.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan