Menurut analisa pemerhati bebas kepada MerdekaReview, calon PKR Basah Kesing @ Ali Basah Kesing (gambar kiri) mempunyai kelebihannya dalam PRN Sarawak 2011. Agak sukar untuk calon SNAP John Bampa @ Tusau, bersama tiga calon bebas, iaitu Michael Jok (wakil PERS), Matthew ak Munan dan Kenneth Adan Silek membahagi-bahagikan undi pembangkang.
Dalam PRN Sarawak 2006, calon PRS-BN Liwan Lagang menang dengan majoriti 227 undi, menewaskan calon SNAP John Bampa dan calon bebas Stanley Ajang Bato. Jumlah undi yang diperolehi John (912 undi) dan Stanley (1,628 undi) melebihi undi yang diperolehi Liwan (1,855 undi). Dengan kata lain, seandainya tidak wujud pertandingan tiga penjuru, pembangkang mungkin berpeluang menawan kawasan DUN Belaga.
Terdapat 11 buah rumah panjang di Sungai Asap, dengan jumlah penduduk kira-kira 10,000 orang. Penduduk yang terpaksa berpindah ke sini dari kawasan hulu Bakun pada tahun 1993 dan 1994 merungut, kawasan ini kekurangan kemudahan asas, dengan pengangkutan yang tidak lengkap, kos kehidupan yang meningkat, tanah tanaman yang usang, malah jauh dari tempat tinggal, wang pampasan yang tidak mencukupi, hasil tanaman yang kurang dan sebagainya. Ramai kaum asal terutamanya Kenya menyelar kerajaan BN kerana menipu mereka ke sini. Keadaan ini semestinya tidak memihak kepada BN.
Bekas ADUN memihak kepada PKR
Ketika dihubungi MerdekaReview, pemerhati bebas yang pernah melawat ke kawasan tersebut berkata, calon bebas PRN Sarawak 2006, iaitu Stanley Ajang Bato memihak kepada PKR, dan keadaan ini dijangka bakal meneroka undi baru untuk PKR. Stanley adalah bekas ADUN dari PRS-BN, tidak dilantik sebagai calon dalam PRN Sarawak 2006. Beliau bertanding sebagai calon bebas, dan hanya tewas dengan undi 227 kepada BN yang berkempen dengan jenteranya.
Selain itu, reputasi calon PKR sendiri juga antara faktor kemenangan PKR. Basah Kesing ialah seorang peguam, berasal dari kerabat BN. Beliau menyertai PKR setelah sebidang tanah keluarganya yang diwarisi turun temurun dirampas. Pertandingan Basah Kesing kali ini direstui ramai penduduk rumah panjang.
Naib Ketua AMK Chan Ming Kai juga memberitahu MerdekaReview, Basah Kesing terkenal di masyarakat tempatan, malah jamuan anjuran PKR dalam rumah panjang dibantu oleh wanita tempatan, katanya ADUN Simpang Pulai ini yang berkempen di Belaga.
Sukar untuk 4 calon yang lain membahagikan undi
Ketika dihubungi MerdekaReview, penduduk Sungai Asap berkata, pertarungan ini adalah antara BN dengan PR, dan calon lain gagal memberi kesan. Misalnya, Micheal Jok (gambar kiri) berasal dari Rumah Panjang Long Bangan, yang jaraknya dua jam perjalanan ke Sungai Asap. Rumah panjang Long Bangan hanya mempunyai ratusan orang, dan menyokong BN dalam PRN Sarawak 2006. Pengaruh Micheal nampaknya terhad, kerana beliau menyokong pembangkang dan gagal mempengaruhi rumah panjangnya pada ketika itu.
Selain itu, John Bampa dari SNAP hanya memperolehi 912 undi pada PRN Sarawak 2006, lebih rendah daripada calon bebas Stanley. Dua orang lagi calon bebas yang lain dikatakan gagal memberi apa-apa kesan. Mengikut pengamatan pemerhati, penduduk telah mendapat pengajarannya daripada PRN yang lalu, dan bersedia untuk menumpukan undi mereka supaya menumpaskan BN.
Ugutan BN
Bagaimanapun, masih bukan kemestian bagi PKR untuk memenangi DUN Belaga yang sarat dengan makna. Menurut seorang penduduk Sungai Asap, sesetengah penghuni telah menerima surat rasmi daripada kerajaan, memaklumkan bahawa pampasan dan geran tanah tiga ekar akan diberi pada 14 April, dua hari sebelum hari pengundian.
BN mengugut penduduk untuk membatalkan biasiswa dan wang kebajikan warga emas, seandainya tidak mengundi BN, katanya.
Meskipun pelbagai tawaran daripada BN untuk memikat hati pengundi, namun pemerhati ini masih yakin bahawa penduduk di situ akan mengundi PKR. Tanah seluas tiga ekar itu terlalu jauh dari rumah panjang mereka, dan bukannya tanah yang subur. Keduanya, masih menjadi tanda soal sama ada penduduk berpuas hati dengan pampasan yang diberikan kerajaan, kerana mereka mengadu kerajaan tidak mengukur tanah adat mereka sebaiknya sejak dulu.
Liwan Lagang, calon BN DUN Belaga |
Pemerhati itu berkata, Liwan dianggap sebagai pemimpin BN yang lebih berani bersuara untuk penduduknya, namun "tiada apa-apa prestasi walaupun sudah lama beliau lantang bersuara". Penyokong asal Liwan kini berpaling kepada PKR. Tambahan pula, PKR dan MAFREL telah mendaftarkan kira-kira 1,000 orang pengundi baru dalam tempoh beberapa tahun yang lalu - dijangka memberi laluan kepada PKR untuk merasai kemenangan kali ini.
*Chan Wei See
Tiada ulasan:
Catat Ulasan