SHAH ALAM 29 MAC : Pemberian projek yang lazimnya disebut mi segera semasa pilihanraya kecil menyalahi undang-undang dan tidak boleh dihalalkan atas alasan membela rakyat, kata Presiden Pemantau Pilihan Raya Bersih dan Adil (Mafrel), Syed Ibrahim Syed Noh.
Beliau berkata pemberian projek, majlis makanan dan lain-lain semata-mata waktu kempen pilihan raya yang bertujuan mendapatkan undi rakyat harus ditolak sebagai rasuah.
"Di mana dan apakah bantuan itu diberi dalam tempoh kempen? Dalam keadaan kapasiti apa, bentuk bantuan yang bagaimana dan apakah ucapan dan kenyataan-kenyataan dibuat ketika (imbuhan) diberi harus diambilkira." kata beliau.
"Kalau semuanya menunjukkan bahawa adanya unsur kempen dan menggunakan kapasiti pegawai kerajaan dan menteri, maka ia boleh dianggap sebagai satu kesalahan mengikut akta kesalahan pilihanraya."
Syed Ibrahim mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz bahawa pemberian bantuan kepada rakyat ketika kempen pilihan raya tidak boleh ditakrif sebagai rasuah.
Nazri memberi alasan bantuan yang disampaikan kepada rakyat menjelang pilihan raya adalah kerana kerajaan mahu memenuhi janji yang diberikan jika menang PKR berkenaan.
Alasan itu kelihatan cara licik menteri berkenaan mengelak persoalan sama ada janji-janji itu adalah berupa sogokan terus kepada pengundi.
Syed Ibrahim berkata hakikat adalah pengundi disogokan dengan "gula-gula" pilihan raya demi memancing undi.
"Persoalannya adalah mengapa begitu banyak sekali bantuan yang berlaku dalam tempoh kempen pilihanraya itu? Bukankah itu boleh ditafsirkan sebagai satu kaedah pembelian undi dengan cara mempengaruhi pengundi melalui pemberian bantuan ataupun barangan dan sebagainya," kata beliau
Tambah beliau, sesebuah negara yang bebas tidak sepatutnya berlaku keadaan di mana kerajaan hanya menyalurkan bantuan yang banyak apabila mempunyai kepentingan dalam pilihan raya.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Awang Hadi semalam mengatakan BN seolah-olah menanamkan persepsi bahawa rakyat harus mendoakan pilihanraya kecil untuk mendapatkan prasarana dan imbuhan lain daripada pemerintah.
Hadi berkata keghairahan BN menabur wang dan menggunakan segala jentera kerajaan untuk menyogok pengundi mencerminkan rasa terdesak pemerintah untuk memenangi setiap pilihanraya dalam apa cara sekali pun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan