Selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 16 April ini sebagai tarikh pilihan raya negeri Sarawak yang ke-10, masa berdetik untuk SUPP - parti kedua terbesar dalam gabungan kerajaan negeri - berjuang untuk survival dalam pilihan raya yang mungkin paling getir sejak penubuhannya pada 1959.
Dalam pilihan raya negeri 2006, parti dominasi kaum Cina itu mengalami kekalahan paling teruk apabila tewas lapan daripada 19 kerusi yang ditandinginya.
Mereka yang kecundang termasuk dua timbalan menteri dan seorang
datuk bandar dari SUPP. Tanggal pengundian pada 20 Mei, dianggap oleh presidennya, Datuk George Chan ketika itu, sebagai saat paling gelap dalam sejarah 46 tahun parti itu.
(ADUN Engkilili, Johnichal Rayong yang bertanding atas tiket SNAP, melompat menyertai SUPP selepas pilihan raya negeri, untuk membolehkan parti itu menguasai 12 kerusi).
Walaupun terdapat jaminan untuk memperkukuhkan semula parti itu, tetapi pertelingkahan dalaman melibatkan semua pemimpinnya meletup sejurus selepas pilihan raya, dengan Chan dipertanggungjawabkan di atas kekalahan parti itu, dan mencetuskan desakan supaya beliau melepaskan jawatan presiden.
Walaupun Chan (kanan) dan barisan kepimpinan berjaya memujuk para pencabar supaya menarik balik pencalonan mereka dan mencapai permuafakatan tiada pertandingan dalam pemilihan parti 2008, namun pertelingkahan antara pemimpinnya berterusan hingga hari ini.
"Perpecahan dalam SUPP berterusan kerana ia melibatkan kepentingan peribadi antara pelbagai puak dalam parti itu. Ia tidak boleh ditangani dengan mudah," kata seorang penyelididik dan penulis Chan Eng Seng.
Menurutnya, pertelingkahan dalaman SUPP dicerminkan dalam kontroversi baru-baru ini berhubung pemilihan calon bagi kerusi tertentu, termasuk Padungan, Meradong and Dudong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan