Selasa, 5 April 2011

PAS letak dua calon wanita di Sarawak

PAS telah mengenal pasti calon berkenaan dan mereka berumur antara 30 dan 60 tahun.
PETALING JAYA: PAS Sarawak akan meletakkan dua calon wanita dalam pilihanraya negeri yang akan diadakan pada 16 April ini.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda PAS Sarawak, Abang Eddy Allyanni Abang Fauzi enggan memberitahu nama calon dan kerusi yang akan ditandingi oleh calon wanita berkenaan.
PAS akan bertanding lima kerusi iaitu  Beting Baro, Sadong Jaya, Tanjung Datuk, Muara Tuang dan Sebuyau.

“Semua kerusi tersebut mengandungi 60 hingga 70 pengundi bumiputera Islam.
“Berdasarkan pengamatan, PAS boleh menang satu kerusi kali ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka mengumumkan calon PAS dalam satu majlid malam esok.
Menurut Abang Eddy, PAS telah mengenal pasti calon berkenaan dan mereka berumur antara 30 dan 60 tahun.
Katanya, mereka merupakan orang tempatan atau yang ada kaitan dengan kawasan yang akan ditandingi supaya pengundi mengenali mereka dengan mudah.
“Ada orang baru, ada orang lama termasuk yang pernah bertanding,” tambahnya.
Pada 2006, PAS cuma bertanding kerusi Beting Maro,  manakala pada 2001, PAS bertanding di  Sadong Jaya dan  kedua-duanya kalah.
Abang Eddy Allayanni berkata, secara keseluruhan peluang PAS menang di kawasan berkenaan ialah sekurang-kurangnya 40 peratus.
“Kita akan memberi fokus kepada isu-isu tempatan terutama tanah yang sekian lama menjadi rungutan kepada penduduk.
“Penduduk juga masih dibelenggu dengan masalah kemudahan asas dan diskriminasi kerajaan negeri,” tambahnya.
Sarawak mempunyai 71 kerusi dengan BN menang 62 kerusi. DAP akan bertanding 15 kerusi, manakala PKR masih berunding dengan SNAP untuk kerusi lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan