Jumaat, 8 April 2011

Manifesto PR Sarawak realistik, selesai masalah rakyat

SARAWAK: Pimpinan Pakatan Rakyat Sarawak menyifatkan manifesto yang ditawar kepada rakyat,  realistik, segar dan mampu dilaksanakan berbanding manifesto Barisan Nasional (BN) yang lapuk dan sarat khayalan.
Timbalan Pengerusi DAP Sarawak, Chiew Chiu Sing berkata, komitmen PR untuk menubuhkan Suruhanjaya Tanah dan Suruhanjaya Tanah Pusaka Bumiputera bagi menyelesaikan masalah tanah di Sarawak, tepat pada masanya.
“Saya berkeyakinan penuh manifesto itu cukup relevan dan lama ditunggu-tunggu majoriti rakyat Sarawak khasnya di luar bandar yang berdepan rampasan tanah dari kerajaan negeri.
“Berbanding BN, tiada penegasan asas dalam manifesto mereka dan menjelaskan lagi bahawa tanah rakyat akan terancam selagi rejim Taib Mahmud berkuasa,” katanya kepada  Keadilan Daily, hari ini.

Bagi Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee, manifesto PR menekankan pentadbiran berteraskan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) dengan mengagih kekayaan  terus kepada rakyat serta menolak rasuah, sekaligus membasmi penyalahgunaan kuasa.
“Sebuah laman sesawang sejak tahun lalu aktif membongkar kekayaan luar biasa Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
“Tidak cukup dengan itu, pelbagai bukti dikemuka, selain puluhan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), namun tiada tindakan diambil.
“Berbanding manifesto BN, tiada satu pun frasa yang menunjukkan tekad mereka untuk membasmi rasuah yang berleluasa di negeri ini,” katanya.
Penasihat KEADILAN Sarawak, Datuk Hafsah Harun pula berkata, teras kesembilan manifesto itu yang membela nasib wanita sangat sinonim kerana majoriti pengundi di seluruh Sarawak adalah wanita.
“Nasib wanita di era Taib jelas terabai. Lihat sahaja isu rogol kaum Penan, sehingga kini tertangguh dan tiba-tiba ditutup. Ini menimbulkan tanda tanya dan dilawan pelbagai pihak baik di dalam mahupun luar Sarawak.
“Malangnya, manifesto BN tiada langsung memberi penekanan kepada hak wanita walaupun majoriti pengundi DUN Balingian yang ditandingi Taib adalah golongan wanita,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan