KUALA LUMPUR, 8 April: Rangkaian Memacu Arus Perjuangan (MAP) menyeru seluruh rakyat Sarawak melakukan perubahan total dalam pilihan raya negeri ke-10 pada 16 April ini demi masa depan generasi akan datang.
Presidennya, Mustaffa Kamil Ayub (gambar) turut menyeru seluruh rakyat Sarawak menggunakan hak serta tanggungjawab mereka untuk mengundi pada pilihanraya negeri kali ini dengan penuh bijaksana.
Katanya, kebijaksanaan para pengundi di Sarawak bakal memastikan negeri yang kaya itu akan mencapai kemakmuran serta kesejahteraan yang menyeluruh.
“MAP dengan tegasnya memohon agar para pengundi menolak serta tidak memangkah calon-calon Adun yang terlibat dan terbabit secara langsung mahupun tidak langsung dalam sebarang bentuk penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan penipuan,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Katanya, wajib bagi setiap rakyat Sarawak memastikan tanah air mereka ditadbirkan oleh pemimpin yang berintegriti tinggi serta meletakkan hak rakyat di tempat yang sepatutnya.
Menurutnya, setelah hampir 50 tahun merdeka, pelbagai persoalan dan permasalahan yang berkaitan kehidupan harian rakyat Sarawak belum dirungkaikan serta ditangani malah semakin membarah.
“Daripada permasalahan pengganguran, pendidikan, tanah adat, ekonomi hinggalah soal kemiskinan masih membelenggu dan terus membelenggu,” ujarnya.
Beliau berkata, Sarawak yang kaya dengan hasil mahsul terpaksa berhadapan dengan kadar kemiskinan rakyatnya sehinggakan seolah-olah tiada jalan keluar atau harapan baru untuk penduduk Sarawak.
Kini, ujarnya mereka seolah-olah melukut di tepian gantang dan mengharapkan bulan jatuh ke riba sementara para pemimpin pula ibarat kera di hutan disusui anak ditinggal kelaparan.
“Justeru, MAP amat berharap rakyat Sarawak mengambil peluang pada kali ini untuk melakukan perubahan agar para pemimpin yang bakal memimpin Sarawak dapat memikul amanah dengan sebaiknya, seterusnya membawa kesejahteraan kepada setiap rakyat yang bernafas di Bumi Kenyalang ini,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan