Jumaat, 8 April 2011

Taib Mahmud enggan berundur

    

KUCHING: Tan Sri Taib Mahmud membayangkan beliau tetap enggan berundur walaupun telah menjadi Ketua Menteri Sarawak selama tiga puluh tahun. Selepas diumumkan kekal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Balingan 4 April lepas, Taib terus menabur janji jutaan ringgit untuk merasuah rakyat.
Dalam lawatannya ke Kampung Tellian Tengah dekat Mukah, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta untuk pembiayaan projek.


Taib mendakwa Pakatan Rakyat memberi tekanan hebat kepadanya untuk berundur kerana beliau dilihat sebagai batu penghalang untuk mereka merampas kerajaan negeri dari tangan BN.

Sebelum ini, Taib yang dilantik menjadi Ketua Menteri sejak 1981, mengumumkan beliau akan bersara selepas Pilihan Raya Umum negeri 16 April ini. Bagaimanapun, kenyataan tersebut mendorong kritikan tajam dari Pakatan Rakyat, kerana segala tindak-tanduk Taib tidak membayangkan beliau akan berundur.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, selepas 30 tahun Taib gagal menamakan penggantinya, mustahil pengganti tersebut akan diperolehi dalam waktu yang terdekat.

Sebelum ini beberapa nama dikaitkan sebagai bakal pengganti Ketua Menteri, antaranya Tan Sri Adenan Satem, Dato’ Seri Abang Johari Tun Abang Haji Openg and Dato’ Seri Effendi Norwawi. Malangnya tidak seorang pun di antara mereka yang berjaya.

Pemerhati berpendapat, Taib sendiri sebenarnya tidak mahu berundur, sebaliknya beliau akan diundurkan oleh rakyat.
Hanya dua cara sahaja yang boleh memaksa Taib diundurkan, iaitu dengan menewaskannya di Dun Balingan atau Pakatan Rakyat menang lebih banyak kerusi daripada pilihan raya lepas.

Difahamkan usaha untuk menjatuhkan Taib sebagai Ketua Menteri akan menemui kejayaan berikutan penolakan konsisten kaum Tionghoa dan Iban terhadap BN.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak sebelum ini mengakui, Pilihan Raya Sarawak akan menjadi penentu tarikh Pilihan Raya Umum Persekutuan.
-Harakah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan