Jumaat, 8 April 2011

Peguam muda calon PAS di Beting Maro

KUCHING: PAS mempunyai peluang cerah untuk menguasai Dun Beting Maro pada pilihan raya negeri 16 April ini memandangkan calon BN menang tipis pada pilihan raya lalu. Bolhassan Din yang mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hanya menang dengan majoriti 895 undi mengatasi calon PAS, Alem Din.
Kawasan tersebut mempunyai pengundi Melayu-Melanau sebanyak 90 peratus, Iban (6.7 peratus) dan Cina (2.28 peratus). Alem mendapat 1,901 undi dan Bolhassan (2,796 undi). Dan kali ini PAS menurunkan seorang profesional muda, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, 32 bagi membawa cabaran PAS dan Pakatan Rakyat.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Abang Mat berasal dari Spaoh merupakan anak bongsu daripada 7 orang adik-beradik. Bapanya, Abang Masagus Abang Kechai sudah meninggal dunia, manakala ibunya Dayang Terinah Abang Mos, 76.

Mempunyai dua orang cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan Norhafizah Yong.

Memiliki Sarjana Muda Undang-Undang di UKM pada 2002. Sekarang bertugas sebagai peguam di firma sendiri, Abang & Associates.

Abang Mat juga merupakan anggota jawatankuasa Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda PAS Pusat dan Pengerusi Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Selangor.

Beliau juga merupakan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Serdang, Timbalan Pengerusi Lajnah Politik & Organisasi Dewan Pemuda PAS Serdang dan Ketua Pemuda PAS Cawangan Seksyen 1/3, Serdang.

Dalam badan bukan kerajaan bergiat sebagai ahli Majlis Tertinggi Harakah Islamiah Sarawak (HIKMAH) 2008-2011, Timbalan Pengerusi Unit Undang-Undang HIKMAH, Penolong Setiausaha Persatuan Induk Penduduk Bandar Baru Bangi 2010-2012, Naib Pengerusi Sekretariat Belia Prihatin.

Selain itu Penasihat Undang-Undang Sekolah Agama Bandar Baru Bangi, Penasihat Undang-Undang Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha dan bekas Setiausaha Agung Jaringan Siswazah Malaysia (JASA).

Abang Mat juga panel peguam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan setiausaha Majlis Perwakilan Penduduk Zon 23 MPKj.

Calon PAS, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus akan ditentang calon BN, Razaili Gapor sekaligus menyaksikan perlawanan satu lawan satu bagi Dun Beting Maro.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan