KUCHING: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta wartawan dan pengamal media fokus kepada isu penting yang bersangkutan kebajikan rakyat Sarawak dalam laporan mereka sepanjang pilihan raya umum negeri Sarawak.
“Dalam pilihan raya Sarawak, kena jaga, jangan (biar) orang alih dari pandangan Sarawak, untuk menutup rasuah, jenayah, kezaliman di Sarawak, untuk alih pandangan lain.
“Saudara kena waspada dengan taktik Barisan Nasional menggunakan kutu-kutu mereka (untuk mengalih perhatian),” kata Anwar.
Anwar berkata demikian sewaktu memberi maklumbalas kepada soalan seorang wartawan televisyen nasional yang berkeras bertanya tentang video fitnah yang cuba mengaitkan Anwar, pada sidang media pilihan raya umum negeri Sarawak.
Pada sidang media yang sama, Anwar sempat mencabar wartawan itu untuk bertanya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tentang pembunuhan Altantuya jika benar wartawan itu pengamal media yang jujur.
“Media patut tanya.. Awak berani tanya (pada Najib) samada Datuk Najib ada kaitan dengan pembunuhan Altantuya.
“Pernah awak tanya? Pernah berani tanya? Maknannya media kena jujur. Tidak harus hipokrit. Tidak boleh munafik dalam hal ini, tidak konsisten, dan menjadi perkakas kepada orang yang zalim dan memfitnah,” kata Anwar.
Anwar seterusnya meminta wartawan itu dan semua wartawan yang hadir untuk mendesak satu Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat sekian banyak isu yang selama ini membelenggu rakyat Sarawak di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
“Apabila orang tanya tentang Suruhanjaya, kenapa tidak ditanya kenapa tiada Suruhanjaya Diraja untuk Sarawak. Berapa puluh billion dicuri, berapa puluh billion jumlah tanah diambil di Sarawak? Kenapa itu tidak disoal?” kata Anwar.
Kempen pilihan raya umum negeri Sarawak kini tinggal lima hari sahaja sebelum hari mengundi pada 16 April.
Di waktu kempen Pakatan Rakyat semakin mendapat sambutan di kalangan rakyat Sarawak, kempen Barisan Nasional pula semakin kelam dan Najib terpaksa berkampung di Sarawak sehingga 16 April ini.
Dalam usaha terdesak untuk mendapatkan kembali sokongan rakyat Sarawak, Najib semalam mengumumkan Taib akan berundur selepas pilihan raya kali ini. Malahan, Taib sendiri sudah bersetuju dengan cadangan itu, kata Najib.
Namun, kedua-duanya belum memberikan tarikh yang pasti untuk Taib berundur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan