Isnin, 11 April 2011

Tuduhan Taib Mahmud umpama meludah ke langit

Perbuatan Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang menyelar Pakatan Rakyat (PR), umpama meludah ke langit dan terkena ke hidung sendiri, kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Pulau Pinang, Mansor Othman.
Beliau berkata demikian apabila mengulas kenyataan Ketua Menteri Sarawak itu yang sebelum ini menyifatkan PR, kononnya sebagai kaca murahan yang berpura-pura menjadi permata tulen sekiranya memenangi pilihan raya negeri 16 April ini.
“Apa dicakapnya itu kritikan kepada diri sendiri. Beliau seperti meludah ke langit yang akan terkena atas batang hidung sendiri.
“Rakyat sudah mula sedar apabila sepanjang pemerintahannya tidak mendatangkan apa-apa kepada mereka. Kini mereka sudah pandai dan tahu siapa yang selalu janji kosong,” kata Mansor ketika dihubungi KeadilanDaily, hari ini.
Selain itu, beliau turut mempersoalkan kerajaan Sarawak di bawah Taib apabila  beliau membandingkan Pulau Pinang di bawah PR.

“Selama 30 tahun Sarawak masih miskin, tetapi negeri di bawah PR baru tadbir dua tahun sudah nampak perubahan kerana Pulau Pinang mencatatkan negeri paling banyak menerima pelaburan daripada negara asing selain memberi pekerjaan kepada rakyat.
“Sebaliknya di Sarawak, Taib hanya membuka ladang-ladang untuk memberi pekerjaan kepada warga asing, tetapi rakyat sendiri hidup dalam kemiskinan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan