Baru-baru ini, EXCO kerajaan Selangor Elizabeth Wong melancarkan perasmian projek mikro-hidro kampung orang asli di Tanjung Rambai, Selangor. Kampung itu terletak di pinggiran hutan, dan penggunaan penjana elektrik mikro-hidro tersebut menonjolkan kebijaksanaan orang asli Semenanjung menggabungkan sumber alam dengan teknologi untuk memaksimakan kesannya.
Penjana mikro-hidro tersebut direka-cipta untuk memenuhi keperluan 25 keluarga dalam 16 rumah di kampung tersebut. Apa yang menarik, dari permulaan pembinaan hinggalah proses akhirnya, kebanyakannya melibatkan orang asli sendiri. Ia memberi makna yang penting dan positif kepada orang asli di Semenanjung.
Sesungguhnya, skala model penjana elektrik sedemikian gagal menandingi Empangan Bakun. Namun, apa yang "menyenangkan hati" adalah, Empangan Bakun yang disokong kerajaan Taib Mahmud mampu membekalkan tenaga elektrik yang cukup untuk kegunaan Sarawak, Malaysia Timur, seluruh Malaysia, malah kaum asli di seluruh dunia. Cuma, tanah adat kaum bumiputera Sarawak ditawan - sehingga mereka kehilangan tanah sumber rezeki mereka sejak turun-temurun. Persoalannya, apakah pembangunan sedemikian bermakna?
Namun, untuk kebanyakan orang, pengorbanan generasi ini demi kebahagiaan generasi seterusnya adalah sesuatu yang wajar. Mungkin, untuk kesejahteraan yang dijanjikan kerajaan Barisan Nasional, maka peneroka membanting tulang tanpa keluhan, dan hasil yang dituainya kesemua disalurkan untuk kroni BN. Kini, pembangunan yang diperuntukkan kepada peneroka mungkin hanyalah sedekah kerajaan BN, atau sebagai contoh "pembangunan modenisasi".
Mengasingkan diri daripada "Pak Uban"?
Namun, apabila kita membicarakan "bersyukur", Perdana Menteri Najib Razak adalah orang yang lebih layak. Najib mungkin kecundang dalam PRU pada tahun 1999 kalau tanpa dukongan undi orang asli - dan mustahil menjadi PM pada hari ini. Bagaimana sekalipun, PRN Sarawak adalah pentas terbaik untuk Najib. Kaum Bumiputera Sarawak adalah majoriti, dan merupakan pilihan terbaik untuk Najib membalas budi.
Bagaimana caranya? Menjanjikan pembinaan Empangan Bakun yang lebih banyak? Atau pembinaan logi pemprosesan rare earth yang lebih banyak, agar bumiputera terus bergelut dengan rare earth? Tindakan ini hanya budi kepada kumpulan berkepentingan. Untuk bumiputera, ia lebih sebagai budi dibalas dendam.
Selama ini, Pak Uban menjaga "deposit tetap" BN dan kerajaan persekutuan ini dengan baik, dan semestinya dimanjakan kerajaan persekutuan. Namun, angin perubahan kini semakin kencang di kawasan majoriti Cina. Maka Najib perlu bergantung kepada undi Bumiputera. Ia bukan sahaja kunci sama ada Najib mampu mempertahankan jawatan PM-nya, malah penentu hidup-matinya BN dalam PRU akan datang. Beliau terpaksa membuat pilihannya - mana yang kurang memudaratkan. Mungkinkah hubungan sedemikian memaksa Najib yang pragmatik untuk mengasingkan diri daripada Taib, dan menamatkan zaman dinasti Taib?
Pendek kata, sama ada Najib mahu mengambil risiko "Pak Uban" serang balik hingga mengancam kuasa persekutuannya, atau lepas tangan membiarkan Taib semakin kukuh pengaruhnya hingga kerajaan persekutuan perlu takut kepadanya? Dari PRN Sarawak 2006 yang menyaksikan "angin perubahan" di kawasan Cina, hinggalah PRK Sibu 2010 - betulkan Najib masih menganggap Sarawak boleh ditakluk, dan ditenteramkan ketidakpuasan kaum lain - hanya dengan seorang pemimpin bernama Taib Mahmud?
Mengisytiharkan Tanah Adat
Kalau benar Najib ingin membalas budi, satu-satunya perkara yang boleh dilakukannya adalah mengisytharkan hak tanah adat semua kaum asli dan bumiputera Sarawak, dan diberikan kedudukan dalam undang-undang. Tindakan ini bakal mengurangkan peluang pihak ketiga merampas tanah adat kaum asli.
Ramai orang asli dan bumiputera sanggup meluangkan masanya untuk mempertahankan hak tanah adat di mahkamah. Tidak ramai daripada mereka yang boleh menunggu untuk menyaksikan dengan sendiri saat-saat keadilan ditegakkan. "Malang" ini tidak harus dilanjutkan lagi.
Sesungguhnya, seandainya hak tanah adat diisytihar, maka "pembangunan" akan menemui had batas-nya. Penggantinya mungkin "penjana elektrik mikro-hidro", yang lebih bersifat untuk memenuhi keperluan komuniti. Dari jangka pendek, ia mungkin jauh berbeza dengan projek mega BN, dan menyebabkan ekonomi diperlahankan langkahnya. Namun, dari jangka panjang, model penjana tenaga sedemikianlah yang akan memanfaatkan penduduk komuniti, dan mencapai matlamat pembangunan lestari.
Sejauh manakah kemampuan Najib untuk mengubah lanskap politik ini? Kuncinya sama ada beliau memahami lambang makna di sebalik penjana mikro-hidro yang berkuasa rendah ini. Meninggalkan model pembangunan Empangan Bakun yang memanfaatkan kroni, memperakui hak tanah adat yang diperjuangkan kaum asli Semenanjung dan bumiputera Malaysia Timur, dan ikon yang paling penting, Pak Uban.
Isu lain bukanlah unsur penting dalam PRN Sarawak. Obor yang paling penting hanya boleh dinyalakan bumiputera Sarawak sendiri. Apakah ini permulaan Reformasi II?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan