Dr Jeniri Amir
Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) memasang angan-angan yang mungkin sukar dicapainya dalam pilihan raya ini. Pengarah SPR Negeri Datu Takun Sunggah dalam kenyataan medianya menyasarkan sejumlah 75 peratus hingga 80 peratus daripada sekitar 980,000 pengundi akan turun mengundi pada 16 April 2011. Apakah alasan SPR untuk mempunyai keyakinan begitu tinggi bahawa peratusan pengundian akan dapat mencapai sekurang-kurangnya 75 peratus Sabtu ini?
Jika rekod lepas menjadi sandaran, angka itu boleh dikatakan tidak realistik. Terdapat penurunan yang ketara dari segi peratus pengundian bagi pilihan raya negeri di Sarawak sejak 1969. Jika pada pilihan raya 1969 peratus pengundian ialah 80 peratus, pilihan raya sesudah itu pula memperlihatkan penurunan yang ketara. Hanya 75 peratus turun mengundi pada 1974, 1979 (72.77 peratus), 1983 (72.56), 1987 (73.0 peratus) dan 1991 sebanyak 72.80 peratus.
Catatan tertinggi
Angka itu terus merosot kepada 65.95 peratus pada pilihan raya 1996, sebelum meningkat sedikit pada pilihan raya 2001 iaitu sebanyak 67.1 peratus. Namun, angka itu merosot lagi dalam pilihan raya kesembilan, iaitu hanya 63.22 peratus atau 552,350 daripada sejumlah 892,537 pemilih turun mengundi. Dalam pilihan raya itu, catatan tertinggi adalah di Asajaya, yang menyaksikan 74.99 peratus pengundian, manakala yang terendah adalah di Telang Usan, iaitu sebanyak 57.94 peratus.
Sarawak, sebuah negeri sebesar Semenanjung memang begitu mencabar bukan sahaja bagi SPR, tetapi juga pengundi untuk bergerak ke pusat pengundian. Dari segi geografi, Belaga merupakan kawasan paling luas, iaitu 19,453 km persegi, diikuti Telang Usan seluas 15,386 km persegi, dan Baleh seluas 12,364 km persegi. Memang menjadi mimpi ngeri untuk mengatur dari segi lojistik, menggerakkan segala operasi dan kenderaan bagi memastikan segalanya berjalan lancar.
Cabaran besar
Usaha menggalakkan sebanyak mungkin pengundi merupakan satu cabaran kepada parti politik dan juga SPR kali ini. Jika tidak, kemungkinan sasaran ditetapkan SPR itu akan sukar direalisasikan.
Dalam pilihan raya kesembilan lalu, BN meraih 341,587 undi atau 62.91 peratus, satu kemerosotan berbanding pada 2002. Dalam pilihan raya terbabit, parti pemerintah meraih 382,137 undi atau 71.16 peratus. Mungkinkah BN dapat mengukuhkan kedudukan undi popularnya atau peratusan itu akan merosot tajam?
Jika undi popular BN terus meleset, ini tentu bukan berita baik untuk pemerintah. Tidak hairanlah segala langkah diambil BN bagi memenangi jiwa dan minda pengundi melalui strategi kempen dan komunikasi politik yang berkesan.
Hilang wang pertaruhan
Sementara itu, undi DAP meningkat hampir sekali ganda, daripada hanya 8.44 peratus pada tahun 2001 kepada 15.13 peratus pada pilihan raya lepas. Prestasi PKR juga meningkat sedikit, iaitu daripada 6.94 peratus kepada 8.72 peratus. Tetapi undi diraih calon Bebas merosot ketara daripada 10.66 peratus kepada hanya 3.41 peratus. Dalam pilihan raya itu daripada 20 calon Bebas yang bertanding, 12 daripada mereka hilang wang pertaruhan berjumlah RM105,000. Mereka gagal meraih 1.8 daripada jumlah undi keeluruhan.
Keadaan kali ini, dengan penyertaan 41 calon Bebas, tentu menyebabkan undi yang memihak kepada mereka tidak mungkin menggalakkan. Pertarungan sebenar adalah antara calon BN dengan parti pembangkang – DAP, PKR, SNAP dan PAS. Manakala kehadiran Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Parti Ekonomi Rakyat Sarawak Bersatu (PERSB) saya agak tidak akan meninggalkan kesan. PERSB terutamanya turun ke gelanggang perang dengan kurang persediaan.
Penurunan ketara
Mengapakah peratusan pengundian tinggi pada tahun 1970-an hingga 1980-an? Dan, mengapakah terdapat penurunan yang ketara selepas pilihan raya 12991? Memang, ini merupakan trend biasa di mana-mana negara kebelakangan ini, tetapi untuk memastikan pembabitan yang bermakna dan menyeluruh, angka itu perlu disekat daripada terus menurun.
Tentu kita tidak mahu jumlah yang turun mengundi adalah di bawah 50 peratus? Kita tidak harus membenarkan bilangan pemilih yang sedikit itu menentukan pemimpin dan kerajaan. Jadi, menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan jumlah dan peratusan pemilih yang mengundi kali ini dapat ditingkatkan.
Angka tidak realistik
Tetapi saya berpendapat bahawa angka yang ditetapkan SPR adalah tidak realistik. Jika benar angka SPR itu dapat dicapai, hal ini bermakna kita menyamai peratusan pada 1974, sedangkan keadaan kini sudah jauh berubah. Memang dari satu segi, peratusan pengundi seharusnya tinggi kerana kesedaran dan tahap celik politik adalah tinggi.
Pengundi sepatutnya sedar akan tanggungjawab mereka. Angka 80 peratus dapat dicatat pada pilihan raya 1969 kerana rasa teruja pemilih untuk mengundi. Dengan sebahagian besar penduduk masih menetap di kampung dan kawasan mereka, dan hanya sedikit yang berhijrah ke luar ketika itu, terutama ke bandar besar di Sarawak dan Semenanjung, maka mudah bagi mereka untuk turun mengundi.
Mobiliti penduduk
Sebaliknya, sebahagian pemilih terutama generasi terpelajar dan golongan muda telah berhijrah ke luar kawasan menjelang 1990-an. Mobiliti begitu tinggi kerana mereka hendak mencari pekerjaan yang lebih baik dengan pendapatan yang lumayan. Mereka tidak mahu tinggal di kawasan sendiri kerana keterhadan peluang pekerjaan; dan jika ada pun pendapatan adalah rendah. Mereka ini tentu sukar untuk kembali menjelang pilihan raya
Untuk kembali mengundi membabitkan kos. Siapakah yang hendak membelanjakan ratusan atau ribuan ringgit untuk terbang balik ke kawasan hanya untuk mengundi? Berapa orangkah anak muda yang menetap di Kuala Lumpur mahu kembali ke Belaga atau Kapit atau Telang Usan semata-mata untuk mengundi?
Jika mereka mengambil keputusan untuk kembali ke kampung dan rumah panjang, ini bermakna mereka perlu bercuti. Memang ada langkah diambil parti tertentu untuk menyediakan tiket kepada pengundi agar kembali ke tempat mengundi mereka. Tetapi tidak ada mana-mana parti yang anggup menghulurkan bantuan untuk membeli tiket pesawat bagi memastikan pemilih terbabit turun mengundi.
Atau mungkinkah juga merosotnya peratusan pengundian kerana pemilih berasa kecewa dengan keadaan politik dan kepemimpinan? Mungkinkah mereka berasa tidak ada gunanya mengundi jika keadaan kepemimpinan adalah masih sama?
Yang pasti, pengundi perlu menggunakan hak dan menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaik-baiknya. Jangan fikir undi anda tidak penting. Satu undi boleh membawa kesan dan implikasi besar kepada calon. Calon boleh memang atau kalah. Dalam pilihan Sarawak, BN pernah menang hanya dengan tujuh undi sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan