KUCHING: Tindakan Perdana Menteri berkampung selama 6 hari di Sarawak jelas menunjukkan bahawa beliau meragui kemampuan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk mempertahankan negeri itu pada pilihan raya negeri 16 April ini.
Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution berkata, ia berikutan campurtangan Najib dalam pilihan raya tersebut, yang dikatakan tidak pernah berlaku sepanjang sejarah pilihan raya negeri selepas 50 tahun Malaysia merdeka.
“Bila Datuk Seri Najib pilih untuk berkampung selama 6 hari di Sarawak, itu menghantar satu isyarat bahawa dia tidak yakin Taib mampu untuk menerajui jentera pilihan raya Barisan Nasional. Sedangkan ini pilihan raya negeri dan bukan pilihan raya umum.
“Keadaan itu mengesahkan jentera BN Sarawak tidak lagi diyakini oleh perdana menteri, sehingga beliau terpaksa mengambil alih jentera pilihan raya BN di Sarawak.
Menurutnya, berdasarkan jadual padat perdana menteri, yang juga Pengerusi BN, Najib dilihat memberi lebih tumpuan terhadap kawasan pedalaman yang ditandingi tiga atau empat penjuru- yang sebelum ini memberi kemenangan selesa buat BN.
“Perkara ini membuktikan bahawa BN betul-betul terdesak dan berhadapan dengan masalah,” ujarnya kepada Suara Keadilan.
Tambah Saifuddin, Najib mengetahui kebencian yang meluap-luap di kalangan rakyat Sarawak terhadap kepimpinan Taib yang membolot kekayaan negeri itu untuk diagihkan kepada kroninya.
Justeru itu, katanya, Najib mengulangi jaminan pengunduran itu, sejurus selepas tiba ke Sarawak semalam.
“Pengumuman itu dibuat kerana Najib mengetahui kebencian menyeluruh rakyat Sarawak pelbagai kaum tak kira samada Cina, Iban, Bidayuh, Melayu dan sebagainya terhadap Taib. Ini disebabkan polisi Taib yang merampas tanah rakyat dan tanah adat di Sarawak.
“Selain itu tindakan Taib yang memberi kekayaan negeri kepada adik beradiknya. Ini lah punca kebencian rakyat Sarawak terhadap Taib Mahmud,” katanya.
Menurut Saifuddin, beliau tidak menolak situasi politik di Sarawak kini akan menyebabkan krisis antara Najib dan Taib, yang akan mengheret kepada perpecahan lebih teruk dalam BN di negeri itu.
Ia juga disebabkan Taib dilihat agak liat untuk melepaskan jawatannya sebagai ketua menteri, malah beberapa pimpinan Parti Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) dikatakan mahu Taib kekal sebagai ketua menteri.
“Sangat jelas berlaku krisis. Kalau tidak apa gunanya Najib datang untuk mengetuai jentera BN,” ujarnya.
Jelas Saifuddin, apabila Perdana menteri mengumumkan bahawa Taib akan berundur, rata-rata rakyat Sarawak tidak mempercayainya.
“Pada 7 November 1995, akhbar-akhbar arus perdana yang dimiliki Barisan Nasional melaporkan Taib akan berundur selepas 5 tahun memegang jawatan ketua Menteri. Tapi apabila penggalnya berakhir pada 2000, Taib masih tidak meletak jawatan sedangkan Perdana Menteri pada waktu itu, Dr Mahathir dianggap perdana menteri yang kuat.
“Kalau Dr Mahathir sendiri pun tidak mampu mendesak pengunduran Taib, apatah lagi Najib yang dilihat lemah dan tidak pernah dipilih rakyat melalui pilihan raya, dan cuma mengambil alih jawatan perdana menteri dari pak lah,” ujar beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan