Rabu, 13 April 2011

Batang Air bukti Najib, Taib gagal tunai janji


BATANG AIR: Peruntukan jutaan ringgit yang ditabur Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air, pada April 2009 bukti jelas kepimpinan itu gagal menunaikan janji.
Pengarah Pilihan Raya KEADILAN Sarawak, Nicholas Bawin anak Anggat berkata, sebagai bukti, pengumuman BN sebanyak RM3.4 juta kononnya untuk membaiki rumah-rumah panjang penduduk di kawasan itu sehingga kini tidak dilunaskan.
“Begitu juga janji membaiki jalan raya di Parlimen Lubok Antu-Bulo dengan pengumuman RM13 juta, Zon Industri Agrikultur RM630 juta bagi kemudahan pelancongan, Kompleks Polis Daerah Lubok Antu, Kompleks Kuarantin Imigresen dan Kastam (CIQ) Lubok Antu, Pejabat Daerah Lubok Antu serta Engkilili yang turut diumumkan Barisan Nasional (BN) bernilai RM59.83 juta.
“Namun semua itu sekadar janji dan ternyata pengumuman BN setiap kali pilihan raya sekadar pengumuman semata-mata,” katanya kepada Keadilan Daily.
Najib pada 7 April lalu meluluskan peruntukan RM3 juta untuk membina sebuah masjid bagi Parlimen Santubong.

Beliau juga mengumumkan peruntukan RM4.5 juta untuk penyelidikan ikan empurau, sejenis ikan air tawar yang hampir pupus di Sarawak.
Beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi menampung pembinaan masjid baru bagi kampung Sebuyau pada 13 April lalu.
Nicholas yang juga Ketua Cabang KEADILAN Batang Air menegaskan, sekiranya BN menang lagi pada pilihan raya negeri kali ini, segala janji yang ditabur di seluruh negeri itu ketika ini hanya janji semata-mata.
“Saya mengajak seluruh rakyat Sarawak agar jangan tertipu dengan janji yang semakin banyak ditabur dan diumumkan BN sepanjang kempen pilihan raya Sarawak kali ini.
“Ambillah iktibar apa yang dilakukan BN di Batang Air pada PRK lalu,” katanya.
PRK Batang Air diadakan pada 7 April 2009 yang menyaksikan calon KEADILAN, Jawah Gerang tewas lebih 1,000 undi dengan BN mengumumkan pelbagai janji mencecah jutaan ringgit.
Najib juga mengakui semua janji itu akan ditunaikan selepas PRK namun sehingga kini memungkirinya.
Pada pilihan raya kali ini, KEADILAN menawarkan Nicholas sebagai calonnya untuk menawan DUN itu di mana beliau hanya tewas pada pilihan raya negeri 2006 kira-kira 800 undi sahaja.
Nicholas, graduan dari Institut Teknologi Mara (ITM), kini dikenali sebagai UiTM merupakan aktivis sosial dan terkenal sebagai pejuang Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak.
Beliau juga merupakan bekas Timbalan Pengerusi Majlis Adat Istiadat Sarawak dan cukup memahami tuntutan rakyat khasnya masyarakat Iban yang majoritinya mendiami DUN Batang Air.
Selain itu, Nicholas juga merupakan bekas Ahli Lembaga Pengarah Sarawak Electricity Supply Corporation sekaligus calon sesuai di DUN itu yang antara masalah yang membelenggu penduduk adalah ketiadaan bekalan air dan elektrik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan