Rabu, 13 April 2011

Kakitangan Awam Kempen Di S'wak, SPR Digesa Nyata Pendirian

KUCHING 13 APRIL : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa bertindak terhadap Barisan Nasional kerana menggunakan kakitangan kerajaan untuk berkempen secara terang-terangan bagi mengekalkan pemerintahan Tan Sri Taib Mahmud.

Menurut Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) diturunkan khusus untuk membantu kempen Barisan Nasional di Belaga.

Mereka berkampong dibeberapa rumah panjang Iban dengan tujuan khusus untuk berkempen meraih undi bagi BN menjelang hari pengundian Sabtu ini, kata Nurul.
Ketiga-tiga jabatan itu adalah di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, dan Tekun di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.


Izzah mempersoal peranan SPR sebagai suruhanjaya bebas yang mengendalikan pilihanraya negeri Sarawak kerana seolah-olah menutup mata berhubung penyalahgunaan kuasa kerajaan.

"Bukankah peggunakan agensi-agensi kerajaan dalam berkempen adalah suatu salah laku?" Izzah.

Bercakap kepada wartawan di pusat media PKR, Satok, Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut mendesak suatu siasatan segera dilakukan ke atas mereka yang terbabit.

Tambah Izzah lagi, penyertaan ketiga-tiga jabatan kerajaan itu pada kempen pilihanraya negeri juga seolah-olah menggambarkan sikap tidak berdikari pimpinan BN Sarawak. 

"Adakah tindakan membawa masuk agensi-agensi ini sebenarnya suatu pengakuan Barisan Nasional bahawa jentera BN negeri Sarawak telah gagal dan memerlukan dokongan (dan) bantuan BN (dari) Semenanjung (Malaysia), lebih khusus kerana ramai anggota agensi-agensi ini adalah anggota Umno.

"Adakah ini suatu petanda bahawa Umno sedang cuba memasuki negeri Sarawak secara senyap," soal beliau lagi.

Beliau turut mempersoal kaedah pengundian di beberapa kawasan di Sarawak, di mana pihak tertentu yang tidak dapat dikenal pasti status mereka membawa peti undi dari satu rumah panjang ke satu rumah panjang.

"Proses pengundian sebegini kami (PKR) khuatiri akan terbuka pada unsur campurtangan (dan) tipu helah yang mungkin sukar dikawal (oleh SPR sendiri)," beliau menambah.

Dengan perkampungan jentera Barisan Nasional khususnya Umno di beberapa rumah panjang seperti Dun Belaga sekarang, menurut Izzah lagi ia memungkinkan pengundi-pengundi dari kalangan Iban diugut atau ditipu ketika proses pengundian berlangsung kelak.

"Jentera BN yang bertapak di rumah-rumah panjang mungkin akan menjadi suatu bentuk tekanan atau ancaman kepada para pengundi di situ untuk mengundi dengan bebas; lebih-lebih lagi jika jentera BN lebih banyak daripada petugas-petugas SPR," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan