PKR menghidu penempatan mereka di sekitar kawasan rumah panjang Dewan Undangan Negeri (N57) Belaga.
PETALNG JAYA: PKR mengesan kehadiran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) membantu Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri Sarawak.Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar berkata, kehadiran agensi kerajaan pusat itu dikesan di penempatan sekitar rumah panjang Dewan Undangan Negeri (N57) Belaga.
“Adakah tindakan membawa masuk agensi ini sebenarnya satu pengakuan bahawa jentera BN di Sarawak telah gagal dan memerlukan bantuan BN Semenanjung?
“Lebih khusus, kerana ramai anggota agensi-agensi ini adalah anggota Umno, adakah ini satu petanda Umno sedang cuba masuk ke Sarawak dengan senyap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat dakwaan ini dengan segera memandangkan penggunaan agensi kerajaan untuk berkempen dalam pilihan raya merupakan satu kesalahan serius.
Selain itu, Izzah bekata pihaknya bimbang kehadiran agensi kerajaan tersebut sebagai salah satu jentera BN yang bertapak di rumah panjang mungkin menjadi satu ancaman kepada kebebasan pengundi, terutama sekiranya jumlah anggota jentera BN itu melebihi jumlah petugas SPR.
Katanya, keadaan sebegini mungkin sukar dikawal memandangkan terdapat ramai pengundi yang berasal daripada kawasan pedalaman, dan sistem pengundian yang dijalankan melalui peti undi itu akan dibawa masuk ke rumah panjang.
“Oleh itu, sekali lagi kami meminta siasatan dibuat pihak SPR untuk mengesahkan tiada salahlaku yang bakal timbul akibat situasi-situasi yang saya bangkitkan ini,” katanya.
Sementara itu, pihaknya turut mengecam tindakan pihak tertentu yang menggodam laman portal berita MalaysiaKini, Radio Free Sarawak dan Sarawak Report sejak semalam.
“Kami menggesa MCMC agar menyiasat dengan segera pihak yang bertanggungjawab melakukan serangan tersebut dan membawa mereka ke muka pengadilan kerana kejadian sebegini tidak boleh dibenarkan berlaku, terutamanya di pertengahan waktu berkempen,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan