Rabu, 13 April 2011

SPR perlu beri pelepasan khas pengundi dari semenanjung

SATOK: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai banyak masa untuk memberikan pelepasan khas kepada pengundi Sarawak yang berada di Semenanjung Malaysia dan Singapura untuk mengundi secara pos, kata Pengarah Strategi Politik KEADILAN, Rafizi Ramli.
“Secara logik memang sukar untuk membawa balik keseluruhan pengundi ini.
“Tetapi sekiranya SPR telus, tulus dan berniat ikhlas untuk memberikan hak kepada ratusan ribu pengundi bagi pilihan raya negeri Sarawak, mereka boleh melakukannya bersama-sama dikawal selia oleh parti -parti yang bertanding,” kata Rafizi dalam sidang media di Bilik Gerakan KEADILAN di Satok.
Dalam laporan media sebelum ini, di Johor sahaja terdapat kira-kira 40,000 ribu pengundi yang berasal daripada Sarawak.
Manakala kebanyakan universiti tempatan di semenanjung pula sedang menjalankan peperiksaan, menyebabkan kesukaran bagi pelajar yang berasal dari bumi kenyalang itu pulang menunaikan tanggungjawab mereka.

Justeru, KEADILAN gusar sekiranya peluang bagi mereka terutamanyagolongan muda yang layak mengundi dinafikan akibat  masalah logistik dan masa.
Rafizi menambah, sekatan yang dilakukan terhadap aktivis Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Wong Chin Huat dari memasuki Sarawak 8 April lalu disebabkan tuntutan yang sama.
Wong Chin Huat sebelum ini menggesa agar rakyat Sarawak di Semenanjung dan Singapura dibenarkan untuk mengundi melalui mekanisme yang dicadangkan, sama ada secara pos atau pun di suatu pusat mengundi yang dipantau parti yang bertanding.
Terdahulu sebelum itu, Rafizi dalam sidang media yang sama memaklumkan bahawa kempen KEADILAN kini telah memasuki fasa kedua, iaitu penumpuan kepada isu-isu setempat.
“Fasa pertama iaitu pembongkaran salahgunakuasa bekas Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud.
“Selepas ini kita ingin mendapatkan maklum balas daripada pengundi mengenai permasalahan di kawasan mereka. Pengundi digalakkan untuk bertemu dengan calon KEADILAN di kawasan masing-masing untuk melapor, memberi pandangan dan maklum balas.
Melalui cara tersebut, jentera KEADILAN akan dipergiat untuk turun bagi mengenalpasti masalah penduduk dengan kadar segera.
Difahamkan, beberapa kes pencemaran sungai di negeri ini akibat pelepasan sisa toksik berjaya dibongkar selepas dimaklumkan oleh penduduk setempat pada program bertemu rakyat sepanjang tempoh kempen.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan