Speaker DUN Selangor, merangkap Naib Pengerusi DAP Selangor Teng Chang Khim menyebarkan berita bahawa Malaysiakini kini mengalami serangan siber, sehingga gagal dilayari pembacanya. Beliau menganggap insiden ini sebagai salah satu cara untuk menyekat media, malah menyeru rakyat untuk boikot media kawalan Barisan Nasional.
"Saya yakin apa yang saya katakan malam ini tidak akan disiarkan dalam akhbar pada hari esok. Kamu seharusnya membeli media yang menyiarkan berita pembangkang," kata Teng Chang Khim (gambar kiri) dalam satu ceramah politik di Kuching, ketika berkempen untuk calon Pakatan Rakyat.
Malaysiakini dan beberapa laman internet, termasuk Sarawak Report dan Radio Free Sarawak diserang pada saat-saat menjelang hari pengundian PRN Sarawak. Teng menyeru rakyat memboikot media kawalan BN sebagai tanda protes untuk tunjuk kuasa rakyat.
Ceramah politik anjuran Pakatan Rakyat di merata tempat Kuching menarik kira-kira 8,000 orang secara keseluruhannya, semalam. Antaranya, PKR di Batu Lintang berjaya mengutip derma sebanyak RM13,412. Sebelum ini, Teng Chang Khim berucap di Kampung Bumbok di kawasan Batu Kawah, mempromosikan prestasi kerajaan negeri Selangor. Meskipun ceramah ini hanya menarik kira-kira 150 orang, namun memperlihatkan interaksi yang positif antara penceramah dengan hadirin - mungkin sesuatu yang baru kepada DAP yang belum pernah mengadakan ceramah di sini.
Puluhan ribu dikutip PKR
Di Batu Lintang pula, PKR berjaya mengutip derma setinggi RM13,412 daripada hadirin, angka yang besar buat kali pertama dalam ceramah di kawasan tersebut. Ceramah PKR di Tabuan Jaya ini menarik kira-kira 1,500 orang, berbanding ceramah anjuran calon SUPP yang tidak jauh dari situ, dengan hanya kira-kira 500 orang.
Wartawan MerdekaReview sampai ke situ pada kira-kira jam 9.30 malam, didapati kira-kira 800 orang masih berada di situ untuk mendengar ucapan penceramah, yang kebanyakannya pemimpin PR dari Semenanjung.
Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Jean Lee Shok Jing mengkritik politik perkauman yang menjadi masalah utama negara kita. Beliau berkata PKR adalah sebuah parti berbilang kaum, dengan calon dari keturunan yang berbeza.
Malah, beliau berkata PRN Sarawak ini bukan untuk menumbangkan Ketua Menteri Taib Mahmud semata-mata, tetapi untuk menumbangkan BN dan politik perkauman yang diamalkannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan