Isnin, 28 Mac 2011

AMK rayu pengundi Sarawak tunai kewajipan

SARAWAK: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sarawak menyeru setiap pengundi berdaftar yang menetap di luar negeri agar kembali untuk mengundi pada pilihan raya kali ini, kata ketuanya, Ahmad Nazib Johari.
Beliau menegaskan, perkara itu penting bagi memastikan perubahan besar dapat dilakukan di Sarawak.
“Kita menyeru pengundi yang prihatin dengan kemiskinan rakyat Sarawak agar kembali untuk mengundi pada pilihan raya kali ini dan pilihlah parti yang komited untuk membawa perubahan besar kepada negeri ini,” katanya dihubungi Keadilan Daily.
Ketika ini, seramai lebih 35,000 penduduk Sarawak bekerja di Brunei, lebih 250,000 di seluruh Semenanjung dan ribuan lagi di Singapura, Sabah dan luar Malaysia.
Mengulas lanjut, Nazib berkata, pengundi Sarawak yang menetap di luar negeri lebih terdedah dengan maklumat bebas.

“Kalau anda balik awal, anda berperanan untuk membantu menerangkan situasi sebenar negeri kita yang memerlukan
perubahan segera terutamanya pengundi luar bandar yang hanya mendapat maklumat dari media BN (Barisan Nasional) sahaja.
“Kami juga mengalu-alukan anda untuk datang ke pejabat sekretariat AMK (Angkatan Muda KEADILAN) di Satok, di
tengah bandar Kuching atau berhubung terus dengan kami di talian 012 327 0569 atau emel kepada nazib23@gmail.com,”  katanya.
Menurut beliau, respon pengundi luar amat memberangsangkan dan dijangka akan terus meningkat.
“Kita sudah menerima respon baik dari mereka yang bertekad untuk kembali bersama rakan dan keluarga untuk mengundi kali ini dengan sokongan terbuka kepada Pakatan Rakyat,” jelas Ahmad Nazib.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan diadakan pada 16 April depan manakala penamaan calon pula adalah pada 6 April dan ini menjadikan tempoh kempen selama 10 hari.
Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan pada 21 Mac lalu dan pengumumannya dibuat Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
PRN kali ini dijangka menjadi medan menguji sejauh mana rakyat Sarawak masih percayakan kepimpinan Taib.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan