Isnin, 28 Mac 2011

Menilik nasib lima kerusi di Miri

Dr Jeniri Amir
MIRI – Ketika duduk di sekurang-kurangnya 10 kedai kopi di Miri pada hari Sabtu dan Ahad lepas, 26 dan 27 Mac 2001, saya dapati sebahagian besar pengunjungnya berbicara tentang politik dan pilihan raya.
Yang menarik, sambil berbual-bual dan berbincang, ada daripada pengunjung yang terdiri daripadai pelbagai etnik itu – Melayu, Kedayan, Cina, Melayu, Melanau, Orang Ulu dan Iban itu – memegang akhbar – Borneo Post, The Star, New Straits Times, Utusan Sarawak, Borneo Post, Berita Harian, Utusan Malaysia, Sin Chew Daily. Mereka mempunyai keghairahan luar biasa ketika mengupas pelbagai isu, siapa bakal calon dan kerusi mana yang akan terlepas daripada Barisan Nasional.

Jangan perlekeh analisis kedai kopi
Rata-rata pengunjung di situ adalah melebihi 50 tahun – sebahagian sudah pencen sebagai penjawat awam atau kakitangan swasta. Sebahagian lagi ialah ahli perniagaan atau bekerja sendiri. Justeru, pendirian politik mereka berbeza daripada penjawat awam atau golongan pengundi muda. Golongan di kedai kopi berkenaan didapati lebih kritis dan lantang bersuara tentang pelbagai isu yang membelenggu nasib mereka, dan juga masa depan anak cucu mereka. Mereka boleh bercakap ‘without fear or favour’ – tidak perlu takut dan gentar.
Analisis mereka tidak kurang menarik. Analisis kedai kopi tidak boleh diperkecil atau dianggap tidak betul. Analisis berkenaan sebenarnya menggambarkan realiti di bawah, apatah lagi sebahagian pengunjung di kedai berkenaan adalah terdiri daripada pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit.
Miri mempunyai lima DUN, iaitu Bekenu, Lambir, Pujut, Piasau dan Senadin. Bekenu dan Lambir di bawah Parlimen Sibu yang kini disandang Ahmad Lai daripada BN, manakala tiga lagi kerusi di bawah Parlimen Miri, kini disandang Datuk Peter Chin (SUPP). Sebagai satu pasukan padu dan jitu, semua wakil rakyat terbabit mahu terus memacu Miri ke hadapan dari semua segi – infrastruktur, ekonomi, peluang pekerjaan, kesejahteraan hidup, perpaduan, persekitaran dan pendidikan.
Nasib lima kerusi di Miri
Dalam pilihan raya 2006, semua kerusi terbabit dimenangi BN. Bekenu yang menyaksikan peratusan pengundian 57.02 peratus daripada 10,095 pengundi, memihak kepada calon BN (SPDP), Rosey Yunus, seorang mantan guru apabila beliau menang dengan majoriti 3,072. Rosey meraih 4,357, manakala penentang beliau Mohdak Ismail (Keadilan) memperoleh 1,285 undi.
Di Lambir pula, sebanyak 52.77 peratus daripada 11,245 pemilih turun mengundi. Datuk Aidan Wing daripada PBB menang dengan majoriti 2,834 undi apabila beliau meraih 4, 334 undi, manakala Saji Samat (Keadilan) 1,497 undi.
Kerusi Piasau dimenangi presiden SUPP, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, dengan majoriti 3,918 undi. Beliau mendapat 6,573 undi, manakala penentang beliau dari Keadilan, Ngu Hee Hieng meraih 2,655 undi.
Pujut pula dimenangi Chia Chu Fatt daripada SUPP dengan majoriti 1,370. Daripada 17,256 pemilih hanya 54.09 peratus turun mengundi. Chia memperoleh 6,493 undi, manakala Fong Pau Teck(DAP) meraih 5,123 undi.
Senadin dimenangi Lee Kim Shin (SUPP dengan majoriti 4,799 undi. Beliau mendapat 7,173, manakala Chai Chook Fui (Keadilan) mendapat 2,374 undi. Daripada 16,925 pemilih hanya 57.73 peratus pengundi turun mengundi.
Bagaimanakah kedudukan lima kerusi berkenaan ketika keputusan diumumkan pada malam 16 April nanti? Mampukah George Chan, Rosey, Aidan, Chia dan Lee mempertahankannya. Tiga penyandang kerusi majoriti bumiputera di Bekenu, Lambir dan Senadin boleh bernafas lega, kerana meskipun pelbagai isu yang membelenggu akar umbi, pengundi tetap akan menyokong BN. Tetapi kerusi Piasau dan Pujut dikatakan berdepan laluan sukar?
Adakah ramalan menepati realiti?
Sejauh manakah andaian dan ramalan itu menepati realiti? Jika sentimen pengunjung kedai kopi di Miri yang saya dengar diambil kira, George Chan dan kepemimpinan beliau sering dikritik oleh mereka. George Chan tentu lebih tahu apa yang menjadi punca beliau dibidas. Beliau juga tentu tahu apa yang telah dilakukan dan tidak dilakukan oleh beliau kepada pengundi.
Sebenarnya, Timbalan Ketua Menteri Sarawak itu merupakan pemimpin yang kerap turun padang, bersikap adil terhadap pengundi pelbagai kaum dan sentiasa prihatin terhadap keperluan mereka. Sebahagian masalah yang terletak di bahu beliau kini, bukan bikinan beliau meskipun sebahagian lagi ialah ciptaan beliau sendiri.
Antara isu yang diperkatakan mereka termasuklah soal kepemimpinan parti dan negeri, peralihan kuasa, soal pentingnya kerajaan melaksanakan tadbir urus yang baik, peningkatan kos sara hidup, perumahan, masalah setinggan, kemudahan prasarana dan seumpamanya. Mereka turut memperkatakan isu yang dilaporkan dalam media alternatif, termasuk blog dan portal berita.
Miri berubah wajah
Saya sudah sekitar setahun tidak ke Miri. Tetapi terus terang, wajah Miri sudah jauh berubah., Ketika menuntut di Kolej Tun Datuk Tuanku Haji Bujang pada 1976-77 dahulu, Miri tidaklah sebesar sekarang. Ketika itu pun orang Sarawak begitu berbangga dengan bandar minyak itu. Kini, saya dapati bandar Miri sekurang-kurangnya empat kali lebih besar daripada yang saya saksikan dahulu. Kampung Dagang, kampung setinggan yang tidak terurus pada ketika itu, telah dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan bangunan komersial. Penduduk di situ dipindahkan ke Tudan.
Pada waktu itu Miri kelihatan begitu kusam dan ketika sekali-sekala tinggal di Kampung Dagang waktu cuti sekolah dan hujung minggu, saya masih dapat mengimbas bagaimana keadaan rumah penduduk waktu itu. Bau ‘buangan manusia’ menusuk hidung ketika angin berembus. Tetapi semua itu sudah menjadi sejarah, kecuali, masjid lama masih wujud dikepung oleh pembangunan di sekitarnya.
Ketika itu, saya melihat betapa gagahnya masjid berkenaan, tetapi kini ternyata masjid itu begitu daif, tetapi tetap memainkan peranan seperti dilakukannya lebih 60 tahun lalu. Sebagai bandar tempat saya belajar selama dua tahun, begitu banyak kenangan pahit dan manis yang melekat dalam ingatan saya. Itulah sebabnya, saya cuba menjejaki kembali kedai-kedai dan lorong-lorong yang pernah saya jejaki lebih 30 tahun lalu. Rasa nostalgia yang sukar dilukiskan bangkit di dalam diri saya. Dan saya bersyukur dan berbangga, bandar itu kini begitu maju dan membangun.
Bandar bersih, teratur, moden
Miri bandar raya yang begitu teratur dari segi perancangan, berdegup 24 jam, dinamik, mempunyai aura kota bandar raya dunia. Malah, Miri lebih baik daripada Kuching dan Sibu. Jika tidak percaya, lihat sahaja keadaan dan suasananya pada waktu malam. Tidak salah di satu kawasan, saya berasa seolah-olah seperti di Bukit Bintang.
Miri mempunyai sekitar 300,000 jiwa dengan dua pertiga daripada mereka berasal dari luar, termasuk dari Semenanjung. Banyak yang ingin mencari hidup dan rezeki di bandar makmur dan bertuah ini.
Miri menggelegak pada hujung minggu, sebahagian kerana warga Brunei suka membeli-belah di bandar itu. Harga barang jauh lebih murah, keadaan adalah selamat, dan penduduk adalah ramah.
Seorang profesor dari sebuah universiti awam dari Semenanjung ketika berbual-bual dengan saya di sebuah lamin kopi hotel menyatakan bahawa beliau tidak menyangka Miri begitu menarik, indah dan maju. Beliau menyangka Miri sama seperti Kota Baharu, Ipoh atau Kuala Terengganu. Realitinya, sebagai orang yang pernah ke semua bandar utama di negara ini dan sebahagian bandar utama dunia, warga Miri sepatutnya berbangga dengan bandar raya mereka.
* Penulis ialah pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak



Tiada ulasan:

Catat Ulasan