Isnin, 28 Mac 2011

Taib bakal pertahan kerusi Balingian

Ketua Menteri meninjau keadaan dan persiapan PBB Balingian menjelang pilihan raya negeri.

MUKAH: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud memberitahu berkemungkinan beliau akan mempertahankan kerusi Balingian dalam pilihan raya negeri ke-10.
“Ya, sebab itulah saya datang ke sini hari ini,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan singkat ke pejabat Pusat Perkhidmatan PBB N.51 Balingian.
Beliau yang ditemani isteri beliau Puan Sri Ragad Kurdi Taib berkata tujuan lawatan ialah untuk meninjau keadaan dan persiapan PBB Balingian menjelang pilihan raya negeri ini.
Ketika lawatan, Taib yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) diberi taklimat antara lain, tentang persiapan PBB

Balingian untuk pilihan raya negeri akan datang oleh Naib Ketua Bahagian I PBB Balingian Akit Sebli.
Taib berkata, kira-kira 25 peratus calon PBB untuk pilihan raya negeri tahun ini adalah muka baru.
“Saya bercadang untuk berjumpa Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) pada 1 atau 2 April untuk mengemukakan senarai calon,” katanya.
Kepada satu soalan, Taib berkata tiada muka baru dari sayap wanita PBB dipilih untuk bertanding pada kali ini.
Katanya, sebenarnya terdapat empat atau lima wanita yang berpotensi untuk dicalonkan tetapi oleh kerana komitmen mereka termasuk komitmen keluarga, mereka menolak.
Taib adalah penyandang kerusi Balingian selama dua penggal berturut-turut sejak berpindah dari Asajaya pada tahun 2001.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan