Isnin, 28 Mac 2011

DUN Sarawak: Kerusi DAP, PAS selesai PKR, Snap masih runding

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Perbalahan antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) berhubung pembahagian kerusi bagi pilihan raya negeri Sarawak pada 16 April ini berterusan apabila kedua-dua parti dilihat membuat tuntutan bertindih untuk 23 kerusi.

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata sebanyak empat kerusi telah diperuntukkan kepada Snap manakala PKR berhasrat bertanding di 24 kerusi lagi.
“Setakat ini sebanyak 24 kerusi sah akan ditandingi PKR, sementara Snap di empat kerusi dan senarai penuh hanya akan dimuktamadkan dalam jangka masa terdekat memandangkan perbincangan antara dua parti masih berjalan.
“Kedua-dua parti menunjukkan minat terhadap 23 kerusi, jadi kita perlu lebih memperincikan kepada calon boleh menang, penerimaan pengundi dan isu tempatan,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat majlis pimpinan pembangkang di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Mesyuarat turut dihadiri penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Pertikaian antara kedua-dua parti itu tercetus apabila PKR yang hanya mempunyai satu kerusi di Sarawak dalam penggal dewan yang lepas, telah menuntut untuk bertanding di lebih 40 kerusi yang majoritinya juga mahu ditandingi Snap.
Sarawak mempunyai 71 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Terdahulu, Anwar yang juga ketua pembangkang, mengesahkan DAP akan bertanding di 15 kerusi dan PAS lima kerusi.
Katanya, perbincangan bagi baki (51) kerusi masih berjalan antara PKR dan Snap di Kuching dan kelewatan itu bukanlah satu masalah kerana, menurut beliau, hari penamaan calon masih jauh dan Barisan Nasional juga belum memutuskan calon mereka.
“Kita akan umumkan keputusan penuh mengenai pembahagian kerusi di Kuching nanti, sabar,” katanya.
Penamaan calon ialah pada 6 April ini. – Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan