SAMARAHAN, 10 April: Seorang lagi calon anak muda PAS, Abang Eddy Abang Fauzi yang bertanding bagi merebut kerusi DUN Sadong Jaya, dilihat mempunyai tarikan sendiri berdepan mayarakat di Dun itu.
Susuk tubuh yang tegap, petah bercakap, ada karisma, antara kelebihan Abang Eddy yang juga Ketua Pemuda PAS Sarawak.
Tidak banyak beza dengan Abang Ahmad Kerdee Masagus iaitu calon muda PAS di Beting Maro, Abang Eddy, 32, juga punyai kelebihan tersendiri.
Beliau cukup dikenali di Dun ini apatah lagi beliau adalah cucu kepada bekas Speaker Dewan Negara, Tan Sri Ahmad Urai Datuk Hakim Abang Haji Mohidin, yang juga bekas Adun Sadong Jaya sejak tahun 80-an.
Jasa dan kebaikan datuknya itu sangat diketahui penduduk di sini dan tempiasnya kini kena pada diri beliau.
Atas kapasiti itulah, beliau juga sangat disegani kawan dan lawan.
Ketika ditemubual Harakahdaily semalam, beliau berkata beliau akan meneruskan segala usaha murni yang dipelopor datuknya membawa Sadong Jaya ke tahap lebih baik.
"Untuk peringkat pertama ini, saya dah melawat ke lima unit peti undi, naik rumah ke rumah, mereka menerima kita.
"Walaupun mereka letak bendera BN, mereka tetap alukan kedatangn kita, lebih lebih lagi mereka kenal datuk saya.
"Di sini persaudaraan lebih penting berbanding ideologi politik,"katanya.
Ditanya pendekatan kempen yang diguna, Abg Eddy memberitahu beliau selesa dengan kempen rumah ke rumah dan berperinsip 'lebih banyak menerang dari menyerang'.
Menurutnya, kaedah itu lebih sesuai kerana majoriti masyarakat di sini adalah saudara dan rakan-rakan yang membesar bersamanya.
Antara isu utama membelengu masyarakat di sini katanya adalah isu kemudahan asas yang masih lagi tidak sempurna.
Selaian Abang Eddy, turut merebut kerusi itu, Aidel Lariwoo (BN) dan Mahayudin Bin Wahab (Bebas).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan