Ahad, 10 April 2011

Keturunan Baru Bian akan dijadikan isu untuk takutkan Melanau/Melayu

Pengkaji politik meramalkan bahawa PBB-Barisan Nasional akan memainkan isu "Baru Bian ialah Orang Ulu" untuk menimbulkan rasa krisis di kalangan Melayu/Melanau, berikutan pengumuman Pakatan Rakyat bahawa Baru Bian adalah Ketua Menteri seandainya PR berjaya menumbangkan BN dalam PRN Sarawak.  Bagaimanapun, strategi ini dijangka hanya berkesan di kawasan bandar Melayu/Melanau.
Pensyarah Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak Faisal Syam Hazis (gambar kiri) ketika dihubungi MerdekaReview berkata, beliau percaya PBB akan memainkan isu ini beberapa hari seterusnya, untuk mewujudkan rasa krisis yang menyaksikan pertembungan antara "kita" dengan "yang lain", agar Melayu/Melanau terus mengundi PBB dan memastikan regim ini kekal berkuasa.
Daripada 71 kerusi DUN di Sarawak, terdapat 27 kawasan Melayu/Melanau, bersamaan 38% daripada jumlah keseluruhannya.
Walaupun rakyat mengharapkan tembok politik perkauman boleh dipecahkan, namun kepincangan dasar di Sarawak mengakibatkan politik perkauman lebih ketara.  Melayu/Melanau bukan kaum majoriti, tetapi menguasai sumber yang paling banyak.  Seandainya PBB memainkan isu ini, maka ia dijangka memperlihatkan impaknya di kawasan bandar Melayu/Melanau, misalnya Satok.

Dalam satu forum anjuran Merdeka Center sebelum ini, Profesor Politik dan Kerajaan UPM, Jayum anak Jawan pernah berkata, pemimpin dari kaum minoriti sukar diterima komuniti kaum majoriti.  Dengan kata lain, agak sukar untuk Baru Bian yang berasal dari keturunan Orang Ulu mendapat sokongan Dayak.
Baru Bian (gambar kanan) ialah peguam hak asasi manusia, lebih terlibat untuk mengendalikan kes tanah adat orang asli.  Kelmarin, Setiausaha DAP Sarawak, Chong Jien Jin berkata, seandainya PR memerintah Sarawak, Baru Bian dari PKR bakal dilantik untuk menjadi Ketua Menteri Sarawak.
Angin perubahan di kawasan desa
Walaupun menjangkakan PBB akan mempergunakan isu ini, namun Faisal Syam Hazis menganggap isu Baru Bian sebagai Ketua Menteri gagal memberi kesan di kawasan kampung Melayu/Melanau.  Ini kerana apa yang diambil berat oleh pengundi kawasan ini adalah isu yang terpampang di depan mata, seperti masalah periuk nasi, infrastruktur, pendidikan anak, sumber rezeki dan sebagainya.  Lebih penting, mereka langsung tidak tahu siapakah Baru Bian.
Faisal Syam Hazis yang kini berada di Saribas dan Beting Maro sebagai pemerhati berkongsi pengamatannya, iaitu sentimen anti kerajaan yang agak tinggi di kawasan desa Melayu/Melanau, kerana mereka merasai diri mereka diabaikan kerajaan.
Beliau berkata, pembangkang berjaya menjejak langkah memasuki rumah panjang Iban pada tahun 2006 buat kali pertama, dan itu satu permulaan yang agak baik.  Kini, kawasan ini yang panas ini semakin hangat, dengan kempen yang berlangsung di situ.
Pada tahun 2006, Wahbi Junaidi dari PBB hanya menewaskan calon PKR, Abang Zulkifli bin Abang Engkeh dengan majoriti 94 undi di DUN Saribas.  Wahbi memperolehi 2,441 undi sementara Abang Zulkifli mendapat 2,347 undi.  Kali ini, PBB meletakkan calon baru bernama Ricky @ Mohamad Razli Bin Sitam untuk bertembung dengan Abang Zulkifli.
Bagaimanapun, terdapat perubahan dari nisbah mengikut kaum.  Pada tahun 2006, DUN Saribas mempunyai 7,145 orang pengundi, dengan Melanau 62.3%, Iban 30.9%, dan Cina 6.8%.  Dalam PRN Sarawak 2011, jumlah pengundinya mencatat 8,045 orang, terdiri daripada Melanau 82.82%, Cina 3.13%, Iban 14.03%, Orang Ulu 0.01% dan lain-lain 0.01%。
Namun, Faisal menganggap kerja akar umbi yang dilakukan calon PKR masih belum mencukupi.  Seandainya BN tewas di kawasan ini, ia lebih disebabkan undi protes dari pengundi.
Percaturan PAS menarik
Selain itu, Faisal mendapati keadaan di kawasan DUN Beting Maro yang ditanding PAS agak menarik.  Jentera PAS agak tersusun, pada dasarnya Kelantan telah menjadikan kawasan ini sebagai "anak angkat".  Malah sesetengah EXCO kerajaan datang bertapak di situ, dan diberi sambutan yang agak memberangsangkan dari pengundi tempatan.
Faisal berkata, pembangkang berpeluang untuk menang seandainya dilihat dari sentimen pengundi.  Namun, apa yang dikhuatiri adalah keadaan merasuah yang amat ketara, dan sukar diramalkan keputusannya sehingga saat-saat terakhir.
Faisal mengambil contoh seperti kawasan Kampung Supak, kawasan ini menjadi penentu yang menyumbang kepada kemenangan PBB dalam PRN Sarawak 2006, tetapi suasana kini menjadi sebaliknya.
Ketika ditanya sama ada strategi kempen PAS berkesan, iaitu lawatan rumah ke rumah, mengenalpasti rumah yang belum diyakinkan untuk mengundi PAS, dan lawatan dibuat semula secara spesifik, Faisal berkata pendekatan sedemikian semestinya membantu.  Beliau memuji jentera PAS yang lebih tersusun, malah lebih kuat berbanding PKR.
Pada tahun 2006, Bolhassan Bin Di @ Ahmad Bin Di menewaskan calon PAS Alem Bin Din dengan majoriti 895 undi.  Bolhassan Bin Di memperolehi 2,796 undi, sementara Alem mendapat 1,901 undi.  Dalam PRN Sarawak 2006, terdapat 7,267 pengundi, dengan nisbah kaumnya Melanau 90.9%, Iban 6.7% dan Cina 2.3%.
Pada tahun 2011, Razaili Bin Haji Gopar menyarung jersi PBB-BN, menentang Abang Ahmad Kerdee Bin Abang Masagus dari PAS.  Terdapat seramai 7,868 pengundi berdaftar, dengan nisbah mengikut kaum Melanau 90.42, Cina 1.47% dan Iban 8.11%.  Selain itu, pergelutan kuasa dalaman tercetus lantaran pertukaran calon dalam PBB, dan ia mungkin memberi kesan seandainya sabotaj berlaku.
Kemenangan yang bersejarah
Apa yang menarik untuk Faisal adalah, sesetengah orang Melanau merasakan diri mereka terpinggir di kawasan dalaman Saribas, kerana ahli parlimen Betong mereka, Douglas Uggah Embas adalah orang Iban.  Politik perkauman nampaknya juga memberi tamparan kepada BN sendirinya.
Menurut Faisal, pembangkang bakal mencipta sejarah seandainya kawasan desa Melanau turut jatuh ke tangan pembangkang.  Sejak tahun 1970, kawasan ini tidak pernah jatuh ke tangan pembangkang, kecuali kejadian Ming Court pada tahun 1987.
Pada tahun 1987, Rahman Ta'kub bersama 28 ADUN daripada 48 keseluruhannya menyerah surat kepada Perdana Menteri untuk menyatakan ketidakpercayaan mereka terhadap pimpinan Taib Mahmud (gambar kiri), meminta agar kerajaan persekutuan mencampur tangan untuk menukar Ketua Menteri.  Sebelum mereka membawa usul ini ke dalam DUN, Taib Mahmud mengambil langkah awal untuk membubarkan DUN, dan menewaskan mereka dalam pilihan raya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan