KUCHING 10 APRIL : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil alih tugas Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk berkempen bagi pilihan raya negeri Sarawak ke-10 sebagai tindakan mendokong dan bersekongkol dengan kepimpinan korup serta bergelumang dengan rasuah.
Menurut Anwar, ini juga jelas menunjukkan Umno-Barisan Nasional(BN) semakin terdesak untuk terus berkuasa di Bumi Kenyalang.
Katanya, tindakan panik Najib membawa keseluruhan Kabinet serta jentera kerajaan untuk membantu kempen pilihan raya negeri merupakan sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.
"Najib datang ke Sarawak untuk mendokong satu kepimpinan yang korup dan semakin ditolak oleh rakyat. Amat jelas langkah Najib membawa seluruh Kabinet dan jentera kerajaan pusat menunjukkan kegagalan jentera pilihan raya Ketua Taib Menteri Taib Mahmud.
"Najib gagal untuk memberi penjelasan kepada rakyat berkaitan rampasan tanah rakyat dan rompakan balak secara besar-besaran yang dilakukan oleh pimpinan Taib selama 30 tahun," kata Anwar pada sidang media di sebiah hotel di sini tengahari tadi.
Beliau juga membidas Suruhanjaya Pilihan Raya yang secara sedar menutup mata terhadap apa yang dilakukan oleh Najib sebagai Pengerusi BN yang menyalah gunakan jentera pentadbiran kerajaan.
"Saya diberitahu oleh calon kita (Parti Keadilan Rakyat) di Belaga bahawa keseluruhan jentera dan pentadbiran kementerian (Datuk Seri) Sharizat (Jalil) diturunkan di kawasan beliau untuk berkempen. Perkara ini jelas menunjukkan SPR bertoleransi terhadap salah guna secara terang-terangan ini.
Mengulas mengenai manifesto BN, Anwar yang juga Ketua Umum KEADILAN menegaskan apa yang ditawarkan oleh Taib pada pilihan raya kali ini hanyalah kitaran kepada apa yang dijanjikan selama 50 tahun tahun.
"BN mengitar isu pembangunan untuk rakyat yang mereka gagal tunaikan sejak 50 tahun dahulu. BN gagal menyelesaikan masalah kemiskinan rakyat yang dipinggirkan dan bagaimana kekayaaan negeri di ambil untuk memperkayakan segelintir kecil pemimpin serta kroni mereka," ujar beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan