Ahad, 10 April 2011

Baru : Rakyat Sarawak Mampu Berubah Bersama PR


MIRI 9 APRIL : Kehidupan daif rakyat Sarawak boleh diubah melalui dasar baik Pakatan Rakyat yang jauh lebih komited dalam memperjuangkan hak asasi rakyat tanpa mengira kaum.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Sarawak, Baru Bian berkata, hal ini dibuktikan oleh rakyat di empat negeri di Semenanjung yang yakin akan kemampuan Pakatan dan hari ini sedang menikmati hasil dari keberanian mereka pada pilihanraya umum 2008. 

"Sebelum 2008 saudara kita di sini ada persepsi yang kita tak boleh lawan BN kerana asasnya sudah kukuh. Ia membawa kepada persepsi BN ialah pemerintah dan

pemerintah ialah BN. Jadi apa yang berlaku di Semenanjung membuktikan bahawa ini hanya persepsi dan kita boleh melawan, menukar dan mengubah pemerintah. Kerana itu kita berjaya membawa mesej perubahan kepada rakyat," kata beliau ketika ditemuramah TV Selangor dalam rancangan Fokus Berita di sini.

Beliau yang dicanang PKR dan DAP sebagai Ketua Menteri Sarawak jika Pakatan Rakyat mampu merampas negeri ini telahpun memperjuangkan nasib hak asasi rakyat
Sarawak semenjak lewat 80-an lagi.

Menurut Baru, masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak dari kaum Iban misalnya juga sudah mula berubah.

Malah, mereka juga dilihat tertarik dengan apa yang dibawa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak menyebelahi kaum tertentu untuk berkuasa tetapi memberi peluang dan bantuan kepada semua.

Hal ini turut dibuktikan dengan pencapaian cemerlang Pakatan Rakyat di negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

"Tiap-tiap kali Ketua Umum datang Sarawak, dia mengatakan Keadilan mengutamakan hak sama rata. Dia kata anak Iban anak saya, Anak Bidayuh anak saya, Anak
Cina anak saya, Anak Ulu anak saya. Dengan kata-kata itu dan empasis terhadap isu hidup telah menarik perhatian rakyat Sarawak dengan apa yang telah dilaksanakan di empat-empat negeri. Terbukti telah dilaksanakan apa yang dijanjikan tanpa kekangan bangsa, adalah contoh yang baik," kata beliau.

Mengulas mengenai manifesto Pakatan Rakyat, Baru menerangkan ia jauh lebih realistik daripada slogan retorik Barisan Nasional iaitu 'Menjadikan Sarawak Negeri Terkaya di Malaysia.'

Baru menyatakan Sarawak memang negeri terkaya cuma kekayaannya tidak dapat diagihkan kepada rakyat yang memerlukan.

"Kita utamakan pembangunan luar bandar. Menghidup semula pembangunan selain isu tanah adat, isu yang dirisaukan rakyat Sarawak juga kemiskinan. Kerana terbukti dalam laporan rasmi yang mengatakan bahawa orang Sarawak ialah golongan paling miskin di Malaysia walaupun Sarawak negeri terkaya kalau dikira ikut sumber hasil bumi," tegas Baru.
Manifesto yang dilancarkan kelmarin oleh pemimpin Pakatan Rakyat itu setebal 8 halaman itu menawarkan 10 perubahan, antaranya menjamin kebebasan agama sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.serta mengamalkan pentadbiran yang baik berdasarkan prinsip antarabangsa engan mengagih kekayaan hasil bumi terus kepada rakyat.

Baru percaya jika diberi mandat, Pakatan Rakyat Sarawak mampu merealisasikan janji itu kerana ia senada dan seiring perjuangan mereka.

"Kita ada visi untuk merubah nasib orang kita di sini. Dan Kita ada manifesto yang realistik dan praktikal sebab itu kita ada tanggungjawab dan janji. Sebab itu saya percaya dengan mandat yang diberikan kita boleh realisasikan janji yang ada dalam manifesto itu," katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan