Ahad, 10 April 2011

PRN Sarawak: Tanah Adat dan Laporan SUHAKAM

Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Rakyat yang bermula pada 7 Mac 2011 telah tamat pada 7 April 2011.  Kini yang menjadi tumpuan ahli parlimen amnya ialah Pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sarawak atau PRN Sarawak ke-10.
Salah satu laporan tahunan yang diserahkan kepada Parlimen kali ini ialah Laporan Tahunan 2010 Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).  Laporan ini berkait rapat dengan PRN Sarawak ke-10.
Laporan Tahunan 2010 SUHAKAM merupakan laporan ke-10 yang wajib diserahkan oleh SUHAKAM kepada Parlimen menurut Seksyen 21 (1) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597).
Semenjak penubuhannya pada tahun 1999, SUHAKAM telah menyerahkan laporan tahunannya kepada Parlimen.  Malangnya, Laporan Tahunan SUHAKAM tidak pernah dibahaskan dalam dewan meskipun seruan demi seruan dan desakan satu per satu disuarakan oleh pelbagai pihak semenjak laporan tahunan yang pertama dikemukakan oleh SUHAKAM.

Sesungguhnya, pengamatan penulis mendapati bahawa ratusan laporan tahunan diserahkan kepada parlimen setiap tahun.  Biarpun laporan-laporan tersebut bertimbun bagai bukit bilangannya tetapi jarang-jarang sekali ahli parlimen diberikan peluang untuk membahaskannya dalam dewan.
Menurut kajian KPRU, pada tahun 2009, sebanyak 215 laporan tahunan, penyata dan risalah dalam pelbagai bentuk telah dikemukakan dalam Dewan Rakyat dan diserahkan kepada ahli parlimen masing-masing pada tahun 2009, dan angka ini melonjak kepada 251 pada tahun 2010.  Laporan Tahunan SUHAKAM adalah antara laporan penting yang dikemukakan tetapi tidak pernah dibahaskan!
Berdepan dengan PRN Sarawak, wajar kita berikan sedikit perhatian kepada Laporan Tahunan 2010 SUHAKAM yang dikemukakan baru-baru ini.  Hal ini kerana laporan SUHAKAM terbaru ini telah memberikan keutamaan kepada isu-isu Orang Asal/Asli khususnya isu hak tanah adat Orang Asal bumi Kenyalang yang kini menjadi isu penting PRN Sarawak.
Sepanjang tahun 2010, Pejabat SUHAKAM di Sarawak telah menerima 51 aduan dan 27 atau 53% daripadanya merupakan aduan berkaitan tanah seperti berikut:
Aduan yang diterima Pejabat SUHAKAM di Sarawak, 2010
No Jenis Aduan Jumlah Kes Kekerapan (%)
1 Hak Tanah Adat 27 52.94%
2 Polis 11 21.57%
3 Pekerjaan 4 7.84%
4 Dokumen Pengenalan diri 2 3.92%
5 Pendidikan 1 1.96%
6 Lain-Lain 6 11.77%
  Jumlah 51 100%

Dalam kalangan aduan berkaitan tanah, kegagalan Kerajaan Negeri Sarawak pimpinan Taib Mahmud mengiktiraf tanah adat serta kegagalan memberikan hak milik kepada pemilik tanah dan pencabulan hak tanah adat oleh syarikat pembalakan merupakan aduan utama yang diterima oleh staf Pejabat SUHAKAM di Sarawak.
Lantaran itu, pihak SUHAKAM telah mengadakan perbincangan meja bulat yang melibatkan pelbagai pihak berkaitan dan mendapati bahawa pemilikan tanah secara tradisi dilaksanakan melalui amalan "molong" dan "tanah mengurip" seperti yang diamalkan oleh kaum Penan.
Sementara itu, pemilikan tanah secara tradisi dilaksanakan melalui amalan "pemakai menoa" dan "pulau galau" oleh kaum Iban.  Walau bagaimanapun, amalan-amalan tradisi masyarakat Orang Asal ini tidak diiktiraf oleh Kanun Tanah Sarawak 1958.
Dengan kata lain, interpretasi berlainan terhadap peruntukan di bawah Kanun Tanah Sarawak 1958 ke atas hak tanah adat telah menjejaskan hak masyarakat Orang Asal yang sering kali terpaksa berdepan dengan masalah kehilangan tanah adat.
Sehingga hari ini, setelah Sarawak diperintah oleh Kerajaan Taib Mahmud selama hampir tiga dekad, persoalan sama ada orang Penan dan Iban mempunyai hak adat seperti yang diperuntukkan di bawah Kanun Tanah Sarawak 1958 masih tidak menemui jawapannya sementara masyarakat Orang Asal terus-menerus kehilangan tanah adat atas nama pembangunan ala-Kerajaan Taib Mahmud!
Justeru, penubuhan Suruhanjaya Tanah seperti yang dijanjikan oleh Pakatan Rakyat jika diberikan mandat memerintah Negeri Sarawak adalah wajar dan penting supaya dilakukan semakan dan seterusnya pindaan terhadap peruntukan yang berkaitan dalam Kanun Tanah Sarawak 1958 untuk mengiktiraf secara jelas kaedah hak pemilikan tanah oleh masyarakat Orang Asal.
Sesungguhnya, pindaan Kanun Tanah Sarawak 1958 merupakan salah satu cadangan yang dikemukakan dalam Laporan Tahunan 2010 SUHAKAM.  Malahan SUHAKAM menyarankan supaya Kerajaan Negeri Sarawak menjalankan tinjauan parameter untuk memastikan sempadan yang jelas bagi Rizab Komunal Orang Asal dan memberi geran tanah kepada pemilik tanah adat.
Walau bagaimanapun, Laporan Tahunan 2010 SUHAKAM bukan sahaja tidak dibahaskan dalam dewan, saranan-saranan baik SUHAKAM juga tidak dihiraukan oleh Najib dan Taib Mahmud.  Sebab itu, manifesto BN Sarawak yang kononnya menjanjikan untuk "menjamin hak rakyat ke atas tanah mereka dipelihara" bukan sahaja merupakan retorik PRN Sarawak semata-mata, peruntukan kewangan sehingga ratusan juta yang kononnya untuk menyelesaikan masalah tanah adat pula sekadar manifestasi politik wang untuk memenangi PRN Sarawak!
Ringkasnya, selagi Kerajaan Barisan Nasional (BN) menduduki Putrajaya sementara Petrajaya dikuasai Taib Mahmud, Laporan SUHAKAM tidak akan dibahaskan dalam dewan dan saranan-saranan penting yang dikemukakan oleh SUHAKAM akan terus ditengelamkan dalam timbunan laporan tahunan tanpa disedari peri pentingnya laporan sedemikian dalam membawa harapan baru kepada masyarakat Malaysia amnya dan memungkinkan perubahan dasar dan perundangan yang dinanti-nanti oleh masyarakat Orang Asal selama berdekad lamanya.
Menurut laman web Sarawak Report dalam penulisannya bertajuk "Pemerintahan Penyangak Di Bumi Sarawak", kisah masyarakat Orang Asal seperti pengalaman pahit Minggat Anak Nyakin dan anak lelakinya Juan Anak Minggat untuk mempertahankan tanah adat telah meyakinkan pihak Sarawak Report bahawa penggunaan samseng dan kekerasan adalah suatu instrumen dasar yang digunakan oleh Kerajaan BN, yang menaja syarikat-syarikat pembalakan.
Meskipun samseng dan kekerasan amat berleluasa di negeri Sarawak, tetapi Kerajaan Negeri Sarawak pimpinan Taib Mahmud berpura-pura menganggap kejadian ini terpencil dan luar biasa.  Begitu juga, meskipun laporan pertubuhan bukan kerajaan yang berpangkalan di Switzerland, Tabung Bruno Manser (BMF) telah mengeluarkan senarai 49 firma di empat benua di seluruh dunia yang didakwanya berkaitan dengan Taib Mahmud dan keluarganya, malahan pendedahan satu per satu dilaporkan dalam Sarawak Report berhubung skandal yang melibatkan Taib Mahmud, Kerajaan BN pimpinan Najib Razak juga berpura-pura menganggap tidak perlu diambil tindakan.
Seperkara yang ingin dibangkitkan oleh penulis di sini adalah, Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2010) 2011 yang dibaca kali ketiga dalam Dewan Rakyat baru-baru ini mungkin memberi petunjuk berhubung soal bila Parlimen akan dibubarkan.
Di bawah RUU ini, Maksud B.12 yang memperuntukkan RM8 bilion atau secara tepat RM8,020,353,100 kepada Kumpulan Wang Terkanun tanpa butiran terperinci dan dicaj sebagai perbelanjaan telah menimbulkan pelbagai kemusyikilan.  Lebih-lebih lagi apabila terdapat khabar angin bahawa Mesyuarat Dewan Rakyat seterusnya yang dijadualkan bermula pada 13 Jun 2011 akan diawalkan dan diadakan dalam bulan Mei 2011, nampaknya pilihan raya umum ke-13 (PRU Ke-13) mungkin diadakan dalam bulan Jun 2011 manakala peruntukan RM8 bilion di bawah Maksud B.12 mungkin berkait rapat dengan perbelanjaan PRU Ke-13.
Demi harapan baru rakyat Malaysia amnya dan demi memelihara hak tanah adat Orang Asal/Asli khususnya, jangan kita terpedaya dengan politik wang yang telah, sedang dan bakal mencorakkan PRN Sarawak Ke-10 dan PRU Ke-13.  Untuk menolak politik wang, kita wajar menafikan penguasaan majoriti 2/3 sama ada oleh Kerajaan Sarawak pimpinan Taib Mahmud atau Kerajaan Persekutuan pimpinan Najib, dan seterusnya menolak secara total kelulusan peruntukan kewangan tanpa butiran yang dapat dipergunakan sebagai dana politik wang secara mudah seperti Kumpulan Wang Terkanun yang dibangkitkan tadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan