Datuk Takun Sunggah berkata sehingga tempoh menarik diri berakhir pada pukul 12 tengah malam tadi, tiada calon yang mengemukakan permohonan untuk menarik diri.
Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak Datuk Takun Sunggah berkata sehingga tempoh menarik diri berakhir pada pukul 12 tengah malam tadi, tiada calon yang mengemukakan permohonan untuk menarik diri.
Dengan itu, SPR telah mengarahkan Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) cawangan Kuching mencetak kertas undi untuk kesemua calon itu, katanya kepada pemberita menerima Buku Undi Pos daripada PNMB di sini Ahad.
Pengarah Urusan PNMB Izham Yusoff berkata pihaknya telah mencetak kertas undi bagi 18,363 pengundi pos pada pukul 12.01 malam tadi, sebaik sahaja menerima pengesahan SPR mengenai calon-calon yang bertanding.
“Kita telah terima nama calon tetapi terpaksa menunggu pengesahan SPR terlebih dahulu. Kami dapat siapkan kira-kira pukul 7 pagi ini menggunakan kira-kira 40 pekerja,” katanya.
Beliau berkata cetakan bagi kertas undi yang lain akan dijalankan secara berterusan dan dijadual siap dalam masa terdekat.
Izham berkata proses mencetak kertas undi ini dijalankan mengikut standard ditetapkan, dan juga perlu mempunyai kemampuan mencetak mengikut tempoh yang ditentukan.
Sementara itu, Pengarah SPR negeri berharap kesemua kertas undi dapat disiapkan oleh PNMB selewat-lewatnya pada 14 April memandangkan ia perlu dihantar ke kawasan pedalaman.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan