Isnin, 4 April 2011

.Azmin : Dominique Untuk Kerusi Parlimen


KUCHING 4 APRIL : Dominique Ng, satu-satunya calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menang pada pilihan raya negeri 2006, digugurkan daripada senarai calon parti itu pada pilihan raya negeri Sarawak Ke-10. 
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, keputusan itu dibuat kerana PKR bercadang untuk meletakkan Ng sebagai calon parti itu bagi kerusi Parlimen pada pilihan raya umum akan datang.
Azmin berkata demikian pada sidang akhbar bagi mengumumkan senarai calon PKR pada pilihan raya negeri Sarawak ke-10, turut berharap Ng, selaku penyandang kerusi DUN Padungan, dapat berkompromi dalam perkara itu berikutan tindakan PKR bertukar kerusi dengan DAP pada pilihan raya negeri kali ini.
Menurut Azmin, DAP diberi kerusi Padungan yang dimenangi Ng dengan mengalahkan penyandang kerusi itu daripada Barisan Nasional (BN), Lily Yong Lee Lee dengan majoriti 1,417 undi pada pilihan raya negeri 2006 manakala DAP pula menyerahkan kerusi Batu Lintang yang dimenangi calonnya Voon Lee Shan kepada PKR.

Kedua-dua kerusi itu terletak dalam bandaraya Kuching dan merupakan kawasan majoriti kaum Cina.
Sebelum pilihan raya negeri 2006, ia merupakan kerusi Barisan Nasional (BN) di bawah Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Jelas Azmin, beberapa perbincangan telah pun diadakan dengan Ng, termasuk dengan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Beliau (Ng) adalah pemimpin penting bagi PKR Sarawak. Ada cadangan untuk meletakkan beliau sebagai calon Parlimen bagi pilihan raya umum. 
"Datuk Seri Anwar mencadangkan beliau diberi peranan yang lebih besar.Beliau boleh jadi Anggota Parlimen yang efektif. Bagaimanapun, ia masih di peringkat awal," katanya.
Sementara itu, Ng yang ditemui pemberita berkata, beliau "amat kecewa" dengan keputusan parti itu yang "bukan hanya menjejaskanya, malah keseluruhan pasukan beliau.
"para penyokong saya terkejut dan kecewa dengan pengumuman itu,".
"Saya telah pun mencetak poster pilihan raya saya dan bahan kempen yang lain dengan mengeluarkan duit sendiri RM14,000 kerana pada mulanya mereka kata DAP tidak bertanding (bagi kerusi itu).
"Ia ditentukan oleh Pakatan, semua penyandang dikekalkan. Sebab itulah saya teruskan mencetak poster saya. Tetapi saya tidak tahu apa yang berlaku sekarang.
"Kepimpinan parti telah membuat keputusan mereka dan memang tahu langkah seterusnya. Saya belum buat keputusan lagi, kita tunggulah sehingga hari penamaan calon," katanya.
Khamis lepas, Ng dikejutkan oleh keputusan PKR untuk bertukar kerusinya dengan DAP dan berpendapat kesetiaannya kepada parti itu telah dibalas dengan pengkhianatan dan pembelotan oleh kepimpinan semasa PKR Sarawak.
Ng, yang juga calon DAP bagi kerusi Padungan pada pilihan raya negeri 1996, menyertai PKR pada 1999 dan dilantik sebagai Timbalan Setiausaha DAP Sarawak.
Bagaimanapun, beliau keluar daripada parti itu menjelang hari penamaan calon pada pilihan raya umum November 1999 setelah Chong Chieng Jen dicalonkan oleh PKR untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Bandar Kuching.
Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan