PETALING JAYA 3 APRIL : Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Tian Chua membayangkan kersama Pakatan Rakyat dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) tidak akan mencapai penyelesaian sebagaimana yang diharapkan.
"Walaupun kami berusaha dengan sedaya upaya untuk bertolak ansur, nampaknya SNAP tidak sanggup bersama berjuang menghadapi Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri akan datang," kata Tian Chua dalam satu kenyataan media hari ini.
SNAP sebelum ini menyatakan sokongannya untuk menyertai gagasan Pakatan Rakyat setelah 'dibuang' oleh Barisan Nasional pada tahun 2004.
PKR dan Snap tidak dapat bersetuju mengenai pengagihan kerusi untuk pilihanraya negeri meskipun rundingan telah berlarutan sekian lama.
"Kami telah berharap SNAP sanggup bersama kami dan menjadi sebahagian dari perjuangan kami untuk keadilan di Sarawak dan Seluruh Malaysia,' kata Tian.
"Jika mereka pilih untuk meletakkan kepentingan diri dahulu, dan tidak berminat untuk bertolak ansur, kami hanya boleh berdoa yang terbaik untuk mereka," kata Tian yang juga Ahli Parlimen Batu.
Tian menolak tuduhan SNAP bahawa PKR kononnya 'lembap' dalam menjalankan rundingan bersabit pengagihan kerusi untuk menghadapi pilihanraya negeri Sarawak pada 16 April.
"Kenyataan terbaru SNAP yang menuduh PKR lambat dalam berunding juga tidak benar dan bertujuan mengelirukan umum. Sebaliknya banyak surat dan mesej yang dihantar kepada pimpnan SNAP dibiarkan tanpa jawapan, kata Tian.
Bagaimanapun menurut Tian, PKR masih mengambil sikap terbuka terhadap parti tertua di Sarawak itu.
"Walau SNAP tidak bersetuju untuk memberi komitmen menentang Ketua Menteri Sarawak Abdul Taib Mahmud dan BN, pintu kerjasama masih tebuka," kata Tian.
"Sebagai tanda keikhlasan, PKR akan memberi SNAP beberapa kerusi di Pilihan Raya untuk membantunya menewaskan BN," kata beliau lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan