Isnin, 4 April 2011

Kadar celik politik di Sarawak masih rendah

KUALA LUMPUR: Penguasaan legasi BN di Sarawak yang ditunjangi etnik Melayu-Melanau adalah berpaksikan kepada politik penaungan, politik pembangunan dan politik keperluan asas.Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak, Dr Jeniri Amir, kesemua faktor tersebut masih relevan berasaskan penempatan pengundi di kawasan luar bandar dan pedalaman yang terletak di pesisiran apatah lagi terdapat kekurangan kemudahan asas seperti jalan raya, air dan sebagainya.



“Salah satu tempat di Pulau Beruit yang mengalami masalah kekurangan zat dan yang paling kuat ialah mereka ini telah diberikan bantuan yang menyebabkan pengundi ini percaya BN sahaja yang mampu memerintah Sarawak,” katanya kepada Harakah baru-baru ini.

Malah ujarnya, kadar celik politik yang rendah di kalangan pengundi luar bandar juga menjadi faktor kaum tersebut terus menyokong BN.

Berdasarkan rekod yang ditunjukkan BN pada pilihan raya lalu ujarnya, etnik Melayu-Melanau yang merupakan kelompok minoriti dengan jumlah 26 peratus dengan mempunyai 28 kerusi ini mempunyai rasa takut akan kehilangan kuasa.

“Ini membuatkan mereka tetap menyokong BN walaupun pemimpin elit BN tidak menyokong prinsip tadbir urus yang baik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Jeneri berkata Pakatan Rakyat menghadapi masalah dari segi logistik apabila segala bentuk keperluan asas terutamanya kenderaan dan prasarana untuk pilihan raya telah disekat oleh BN.

“Pakatan Rakyat akan menghadapi keadaan yang cukup mencabar apabila segala jentera akar umbi tidak berpihak kepada mereka kerana BN sudah tentu akan mengerahkan jentera akar umbi tersebut bagi memastikan kemenangan mereka.

“Mereka akan menempah bot, perahu, helikopter, bot ekspres, hotel, segala kenderaan dan sebagainya sehingga menyekat serta menyukarkan Pakatan Rakyat bergerak bagi menyekat kemaraan mereka,” ujarnya lagi.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai perkembangan terkini mengenai pengundi, beliau melihat pengundi muda menjadi kuasa baru kepada politik Sarawak yang boleh mengubah lanskap semasa.

Dengan jumlah kira-kira 310 ribu daripada 980 ribu pengundi Sarawak, hanya 20 peratus daripada pengundi muda daripada etnik Cina didapati menyokong BN manakala 60 peratus daripada kalangan anak muda Bumiputera berpihak kepada BN.

Hal ini menurutnya adalah kesan daripada kadar celik huruf yang tinggi di kalangan anak muda yang telah mengetahui perkembangan semasa menerusi pengaruh media baru.

Walaupun hanya 37 kawasan sahaja yang dapat ditembusi internet, ianya memberikan kesan yang besar terhadap perkembangan politik generasi muda yang ingin melihat perubahan pentadbiran kerajaan negeri yang telah terlalu lama menerajui pemerintahan.

Katanya, laporan media baru khususnya daripada laman web Sarawak Report yang mendedahkan dakwaan masalah dalam kepimpinan negeri mempengaruhi kecenderungan mereka ini untuk menjadi golongan anti-establishment.

Mengulas mengenai masalah pembahagian kerusi antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat, Jeneri berpendapat sebarang pertembungan tidak seharusnya berlaku.

“Pakatan Rakyat perlu mengelakkan masalah dalam pengagihan kerusi yang memungkinkan berlakunya pertembungan sesama sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan