Isnin, 4 April 2011

Nikmat Rakyat Selangor Perlu Dirasa Di Sarawak - Anwar

SRI AMAN 3 APRIL : Ketua umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan penduduk Sarawak menjadikan negeri Selangor bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai negeri contoh, hasil keberanian dan kebangkitan rakyat yang menuntut perubahan pada Pilihanraya Umum lalu.

Menurut Anwar, Selangor dan negeri Pakatan Rakyat lain menjadi bukti mereka mampu membawa perubahan malah jauh lebih baik dari pemerintahan Barisan Nasional.

" Jadi pilihanraya kali ini, bagi kita, tujuan kita ialah mahu merubah pemerintah, cukuplah apa yang telah dilakukan, siapa cakap Pembangkang tidak mampu mentadbir?
" Pulau Pinang boleh, Selangor boleh, lihat perbezaan Selangor dibawah pemerintahan Pakatan Rakyat dengan Selangor di bawah UMNO-BN, banyak bezanya," kata Anwar dalam ceramahnya semalam.

Statistik daripada Malaysia Industrial Development Authority atau MIDA, menunjukkan bahawa negeri Selangor telah mencapai jumlah nilai pelaburan perindustrian yang tertinggi iaitu sebanyak RM 29.3 billion bagi tempoh 2008 – 2010.
Ini merupakan nilai pelaburan yang tertinggi di Malaysia berbanding dengan negeri-negeri yang lain dalam 3 tahun yang lepas.

Dalam siri lawatannya ke sebuah rumah panjang di Sri Aman - kira-kira 200km dari tenggara Kuching, semalam, Anwar menggesa pengundi Sarawak khususnya masyarakat Iban membuka mata dan minda kepada apa yang telah dibuktikan oleh pimpinan Pakatan Rakyat.

Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor komited memberi kebajikan kepada rakyatnya dengan pemberian 20 meter padu air percuma dan beberapa program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) untuk mengagihkan kekayaan negeri kepada seluruh rakyat melalui pelbagai model penyaluran terdiri daripada kemudahan infrastruktur, bantuan kehidupan, peluang perniagaan dan banyak lagi. 

" Air untuk kegunaan harian, mandi, minum, basuh dan sebagainya. Ianya percuma di Selangor, di Sarawak, air hujan air sungai yang itu percuma.
" Persoalannya kenapa Selangor boleh lakukannya, sedangkan Selangor tidak mempunyai minyak mahupun balak tetapi mampu lakukannya, sebab pimpinannya itu menjaga kebajikan rakyat," kata Anwar.

" Di Selangor, untuk golongan warga tua meninggal dunia, dapat RM2,500 dari kerajaan negeri, di Sarawak dapat apa? RM5 pun belum tentu,"tambahnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan