
Ramai penganalisis berpendapat keputusan itu sebagai pemangkin terhadap 'tsunami politik' yang melanda Semenanjung Malaysia pada pilihan raya umum 2008.
Empat kawasan yang ditawan oleh DAP dan PKR, ketika itu adalah daripada Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) sebuah komponen BN.
Kerusi-kerusi berkenaan adalah Padungan, Pending, Batu Lintang dan Kota Sentosa. Malah pembangkang sama sekali tidak menjangkakan keputusan berkenaan.
Meskipun lima tahun hampir berlalu dan tidak ada banyak rungutan berhubung prestasi keempat-empat penyandang kerusi berkenaan, namun perjalanan pilihan rayamereka pada 16 April ini dijangka tidak semudah dan mungkin berliku, khususnya kepada DAP.

Yong, 33, seorang peguam yang petah bermain kata-kata akan dicabar oleh Sim, 46, seorang doktor pakar jantung yang amat dihormati penduduk tempatan.
Sim terbabit menerajui menubuhkan Pusat Jantung Hospital Awam Sarawak (SGHHC), yang menawarkan rawatan yang berpatutan kepada pesakit dan terbabit juga dengan penyelidikan genetik dan imej molekular.
Sepanjang kempennya, Sim sering memakai kemeja T yang mempunyai gambar jantung dan modal kempennya adalah mengenai pentingnya gaya hidup yang sihat.

Ketika berkempen di Pusat Komersial Kenyalang, di Kuching, Rabu lalu, beliau menghuraikan beberapa kejayaannya termasuk mempunyai hubungan langsung dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kebetulan merasmikan SGHHC pada Januari lalu.
“Saya bagi tahu beliau (Najib) bahawa Kuching perlu lebih banyak pusat pendidikan tinggi. Kami perlukan cawangan universiti, mungkin dari China dan India,” katanya kepada kira-kira 300 hadirin.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan