Rakyat Sarawak dilihat mempamerkan sikap politik agak unik pada pilihan raya negeri itu kali ini.
Pemerhatian saya di beberapa kawasan khususnya yang ditandingi PAS, memperlihatkan sedang wujud satu 'gelombang besar' di peringkat rakyat untuk melakukan perubahan politik.
Perubahan ini khususnya, berlaku di kalangan majoriti kaum Iban dan Melayu Melanau di sini.
Beting Maro, Sadong Jaya dan Sebuyau, antara yang paling jelas menunjukkan semangat rakyat menolak BN.
Uniknya, perubahan ini hanya dapat dirasai jika kita benar-benar mencermati tutur dan perbualan penduduk di sini.
Mereka berhati-hati dalam perbualan, dan seboleh mungkin tidak akan membincangkan soal untuk melakukan perubahan secara terbuka.
Namun bila mereka yakin dengan siapa mereka berbual, satu persatu kemarahan kepada BN dilontarkan.
Jika melihat suasana di sini secara kasar, seperti tiada apa-apa yang berlaku, apatah lagi berdepan kempen kedua-dua pihak yang masih di peringkat awal.
Lebih mengelirukan, jika dilihat cara mereka mempamerkan sokongan, kerana mereka memasang kedua-dua bendera PAS dan BN pada rumah masing-masing.
Ketika ditanya kenapa memasang kedua-dua bendera, seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Kamal berkata, "bendera PAS itu yang saya akan undi, bendera BN itu sebab saya mahu pemimpin BN datang rumah beri bantuan pada saya".
"Bila saya buat begini, dua-dua pihak akan mengaku saya penyokong mereka, dan mereka akan datang ke sini," tambahnya lagi.
Secara mudahnya, mereka seolah-olah sedang memprotes kepada BN secara senyap dan hanya akan bertindak pada kertas undi.
Bagaimanapun di dua lagi Dun yang ditandingi PAS iaitu Muara Tuang dan Tanjung Datu, kekuatan sokongan terhadap parti itu dan BN dilihat masing-masing seimbang.
Kempen fasa pertama yang masuk hari ketiga semalam secara keseluruhan masih lagi dilihat perlahan bagi parti yang bertanding termasuk Bebas.
Ianya mungkin disebabkan faktor jentera yang terhad yang terpaksa dibawa dari Semenanjung, faktor jarak dari satu ke satu kawasan yang jauh, dan kemudahan asas yang agak terhad membantutkan kelancaran kempen.
PAS dan rakan Pakatan Rakyat lain dilihat lebih banyak menggunakan pendekatan kempen rumah ke rumah dan ceramah kelompok.
Mereka menggunakan pimpinan-pimpinan yang dianggap 'top gun' nasional yang berkampung di sini sejak awal pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) lagi.
Bagi PAS, antara yang berkampung di sini, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Nasharudin Mat Isa, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Mahfuz Omar, Salahudin Ayub, Mohamad Sabu dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Berbanding BN pula, mereka dilihat lebih banyak berkempen menggunakan media khususnya televisyen dari pendekatan rumah ke rumah yang diamal mereka sebelum ini.
Jika keadaan ini berterusan, banyak pihak menjangkakan PAS sekurang-kurangya berpeluang menang di tiga kerusi yang sedang berlaku gelombang perubahan, daripada lima kerusi yang ditandingi.
Paling mengujakan di Beting Maro yang turut dibantu faktor calon mudanya, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus yang kini diterima seperti selebriti.
Di Dun itu juga terdapat perkampungan Melayu Melanau terbesar di Malaysia iaitu Kampung Beladin yang juga menjadi faktor penentu kemenangan PAS.
Bagaimanapun sedikit 'reserve' diletakkan apabila terpaksa berdepan pelbagai taktik kotor BN khususnya politik ugutan, dan politik wang di saat akhir.
Satu lagi kebimbangan yang ada berdepan pilihan raya Sarawak kali ini adalah tindakan menggunakan ilmu sihir bagi mengkhianati pihak lawan oleh pihak tertentu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan