SARAWAK: Rakyat di negeri ini harus mencontohi pengundi Sibu yang berani menolak Barisan Nasional (BN) hingga menyebabkan pimpinan kerajaan negeri terhegeh-hegeh menunaikan permintaan mereka selepas mengalami kekalahan.
“Sejak BN kalah di Sibu, pengundinya khususnya kaum Cina menuntut pelbagai peruntukan meliputi bantuan sekolah, rumah ibadat dan prasarana asas, selain mendesak penyelesaian isu tanah.
“Jika ini dilakukan pengundi Bumiputera di seluruh Sarawak kali ini, saya yakin, apa jua tuntutan akan dilayan. Cuma memerlukan sedikit keberanian untuk menolak BN,” kata calon KEADILAN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka, Norhisham Mohamed Ali.
Paad pilihan raya kecil Parlimen Sibu Mei tahun lalu, Pakatan Rakyat membuat kejutan apabila merampas kerusi itu daripada BN, melalui calon DAP.
Norhisham yakin rakyat sudah bijak dan matang sekali gus tidak lagi mudah disogok pimpinan BN sebaliknya tetap mengundi caloan Pakatan Rakyat.
“Inilah pentingnya pemahaman dalam diri pengundi. Diberi makan, makan. Diberi kain sehelai, mintak tiga helai. Tetapi undi, tetap untuk Pakatan Rakyat,” katanya.
Norhisham adalah graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang kejuruteraan dan membesar di Kampung Baru terletak di DUN Nangka dan bekerja sebagai jurutera sebuah syarikat berkaitan minyak dan gas di negeri itu.
Beliau berusia 29 tahun menyertai KEADILAN sejak 1999 dan pertama kali bertanding pilihan raya serta terkenal dengan kelantangannya dalam membela nasib rakyat.
Norisham dijangka menang kerusi itu, lebih-lebih lagi BN di DUN berkenaan berdepan krisis dalaman yang kronik akibat pengguguran penyandang kerusi hingga mewujudkan sabotaj semasa sendiri.
Mengulas masalah dan penderitaan rakyat di kawasan itu, Norhisham berkata, ia meliputi isu kemiskinan dan perpindahan penempatan rakyat.
“Isu utama melibatkan kaum Melayu dan Melanau di Kampung Nyabor, Hilir dan Nangka yang terletak dalam jajaran Sungai Batang Igan. Mereka berdepan ancaman hakisan tanah berhampiran rumah mereka.
“Penduduk sehingga kini tertanya-tanya, ke mana mereka akan dipindahkan kerana tiada arahan jelas daripada kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata, penduduk mengesyaki perpindahan itu ada muslihat tersendiri berikutan tanah yang mereka duduki pada masa ini terletak dalam kawasan bandar dan nilainya tinggi.
“Semua persoalan itu membingungkan penduduk. Pakatan Rakyat sedia memberi jaminan untuk menyelesaikan masalah itu jika diberi mandat membentuk kerajaan negeri atau menafikan majoriti dua per tiga ,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan