Rabu, 6 April 2011

PAS buka jalan rakyat Sarawak buat perubahan

KOTA SAMARAHAN, 6 April: Rakyat Sarawak sudah menyedari salah laku Ketua Menteri mereka, Tan Sri Abdul Taib Mahmud namun takut untuk membuat perubahan, kata ahli jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Beliau berkata, PAS sudah bersedia untuk membantu rakyat Sarawak keluar daripada ketakutan itu dan membuat perubahan di negeri ini.
"Rakyat Sarawak  ngin meyakinkan parti-parti yang bertanding khususnya Pakatan Rakyat bahawa salah laku keluarga Taib Mahmud diketahui umum tapi mereka kurang berani menunjukkan kemarahan.

"Mereka gerun dan takut untuk buat perubahan dan mengharapkan kami untuk tanamkan keyakinan untuk jatuhkan Taib. Kita buat satu mukadimah masuk ke Muara Tuang supaya mereka berasa yakin," katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon di Dewan Suarah, dekat sini hari ini.
Ahli Parlimen Bukit Gantang itu juga berkata, PAS sudah pasti ingin merampas kerusi itu dari BN, apatah lagi calonnya ialah adik Taib sendiri.
Namun katanya, jika hanya berjaya mengurangkan majoriti BN sekalipun, ianya merupakan kejayaan besar kerana PAS baru pertama kali bertanding di Dun itu.
"Peluang untuk PAS menang nampaknya 50-50 kerana ini kali pertama PAS bertanding di sini. Sebelum ini PKR bertanding dan mereka kalah dengan majoriti enam ribu lebih. Jadi kita rasa kalau pun kita dapat kurangkan majoriti pun satu kejayaan besar," katanya.
Mengulas mengenai calon wanita yang diletakkan PAS pula, beliau berkata ianya satu keputusan tepat kerana majoriti pengundi di Muara Tuang terdiri daripada wanita.
"Sebahagian besar pengundi di Dun ini adalah wanita jadi dengan PAS meletakkan Noraini yang dikenali di kalangan kebanyakan wanita di sini ini satu pilihan yang tepat," katanya.
Ini juga, katanya satu penghormatan kepada Dun Sarawak apabila memberi peluang kepada calon wanita.
"PAS memang mahu mengenengahkan lebih ramai calon wanita dan ini merupakan penghormatan kepada Dewan Undangan Negeri Sarawak kerana boleh memberi peluang kepada calon wanita untuk menganggotai dewan," katanya.
PAS meletakkan Noraini Hamzah, 49, bagi menentang calon BN-PBB, Datuk Seri Mohamad Ali Mahmud, 61.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan