Rabu, 6 April 2011

Salleh Jafaruddin cabar Taib di Balingian

Bekas timbalan menteri pelajaran, Datuk Salleh Jafaruddin hari ini mengumumkan akan bertanding sebagai calon Bebas menentang Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud di kerusi DUN Balingian.

Ini adalah kali pertama bagi Taib - yang memegang kuasa sejak tiga dekad lalu - berdepan dengan seorang calon yang berpengaruh dalam pilihan raya negeri.

Taib, 75, mewakili Balingian sejak dua penggal lalu. Sebelum itu, beliau mewakili DUN Asajaya.

Balingian dijangka menyaksi pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya Sarawak pada 16 April ini, dengan PKR meletakkan ahli perniagaan, Suriati Abdullah, 50.

Bagaimanapun, Malaysiakini difahamkan bahawa penyokong Salleh telah meminta PKR supaya tidak meletak Suriati bertanding di situ, bagi membolehkan pertandingan satu lawan satu dengan Taib.

Salleh, 67, yang merupakan dua pupu dengan Taib, telah memberitahu Malaysiakini dalam satu temubual eksklusif tahun lepas bahawa beliau merancang untuk kembali aktif dalam politik Sarawak.

Salleh adalah keturunan Melanau dari Oya, yang pernah berkhidmat dengan kerajaan dan pembangkang.

Anak emas Tun Rahman Yaakob ketika menjadi ketua menteri dan gabenor dalam tahun 70-an dan80-an itu, turut bersama Rahman dalam insiden Ming Court 1987 untuk menjatuhkan Taib.

Salleh pernah menjadi ahli parlimen dan ADUN di Sarawak untuk banyak penggal. Salleh juga pernah menjadi timbalan menteri pelajaran.

Dalam 2006, Taib memenangi kerusi Balingian dengan majoriti besar 5,726 undi, mengalahkan calon PKR, Ibrahim Bayau, yang hanya memperolehi 667 undi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan