Khamis, 14 April 2011

7 penggal jadi Adun BN, dewan orang ramai pun tak ada

SATOK: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok dimenangi Datuk Amar Abang Johari Openg, yang juga Menteri Perumahan dan Perancangan Bandar Negeri Sarawak selama tujuh penggal berturut-turut.
Namun, sepanjang tempoh itu, beliau bukan sahaja tidak dapat menyediakan  kemudahan seperti bekalan elektrik ke kawasan itu, malah juga gagal menyediakan kemudahan asas seperti dewan orang ramai, kata calon KEADILAN Ahmad Nazib Johari.
Ahmad Nazib akan menentang  Abang Johari pada pilihan raya negeri itu, 16 April.
Menurut Ahmad Nazib,  selain masalah kemudahan asas yang membelenggu penduduk, masyarakat di Satok turut berdepan  isu pemilikan tanah.
“Di Kampung Kudei Baru misalnya, rakyat tidak diberikan geran tanah walaupun menduduki kawasan itu bertahun-tahun. Sementara beberapa kawasan perumahan masyarakat Melayu sehingga kini tiada bekalan elektrik,” jelas Nazib kepada Keadilandaily.com.
Selain itu, kata Nazib, krisis penganguran dan gaji rendah turut membelenggu golongan muda. Misalnya, mereka yang bekerja sebagai kerani hanya berpendapatan RM400 sebulan sekaligus menjadikan mereka di kalangan kelompok miskin tegar.

“Lebih parah lagi, dengan gaji sebanyak itu amat sukar meneruskan hidup kerana DUN Satok terletak di kawasan Bandar yang kos hidup nya cukup tinggi,” jelas beliau.
Mengulas lanjut, Nazib berkata, tahap kemiskinan rakyat di kawasan ini juga menyebabkan peratus keluarga khasnya bumiputera yang menghantar anak mereka ke sekolah semakin rendah.
Menyentuh mengenai krisis Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) DUN Satok, Nazib menjelaskan, sekutu BN itu kini berdepan dengan krisis kepimpinan yang  teruk dan berpuak-puak.
Malah, katanya, terdapat kumpulan tertentu yang menolak secara terbuka kepimpinan Abang Johari sebagai Timbalan Presiden PBB, dan perkara itu turut dimaklumkan kepadanya oleh anggota parti itu sendiri.
“Kalau parti sendiri pun diambil mudah pengurusannya, apatah lagi rakyat,”  jelas Nazib.
Sehubungan itu, beliau menyeru setiap rakyat Sarawak berani melakukan perubahan pada pilihan rayakali ini dengan memastikan setiap calon Pakatan Rakyat menang di mana-mana kerusi yang mereka tandingi.
Majoriti pengundi di DUN Satok merupakan masyarakat Melayu yang membentuk 70 peratus, Cina hampir 20 peratus manakala selebihnya kaum-kaum lain.
Nazib merupakan graduan undang-undang dari Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan kini merupakan Peguam Syarie di firma guamannya, Ahmad Nazib and Associates.
Ayah kepada lima anak ini juga antara pengasas Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Setiausaha Agung Persatuan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan