Khamis, 14 April 2011

Alkitab : Ketua Biskop Ulangi Tolak 'Satu Negara Dua Polisi'


KUALA LUMPUR 14 APRIL : Biskop Katolik, Dr Paul Tan Chee Ing mengulangi pendirian beliau bahawa dasar 'satu negara dua polisi' Kerajaan Persekutuan yang memperuntukkan undang-undang berbeza antara Borneo dan Semenanjung Malaysia mengenai Alkitab sebagai 'tidak dapat diterima sama sekali.'

"Saya tak mahu kedengaran kasar, terutamanya selepas apa yang dilihat semacam pertemuan baik antara Perdana Menteri dan pemimpin Persatuan Gereja Sarawak (ACS) di Kuching semalam," kata Ketua Peruskupan Melaka-Johor kepada portal Malaysiakini hari ini.


"Tapi jika pertemuan itu tidak menjurus kepada penarikan pendirian 'satu negara dua polisi' Kerajaan Persekutuan terhadap penyebaran Alkitab ini, jadi kita masih berada di titik mula isu ini, kata beliau yang juga Presiden Persidangan Biskop Katolik Malaysia.

2 April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala mencadangkan isu Alkitab diselesaikan dengan berbeza antara Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

Menurut Idris Alkitab bahasa Malaysia/Indonesia di Sabah dan Sarawak tidak memerlukan cop 'Untuk Penerbitan Kristian' atas alasan bilangan penganut Kristian ramai di kedua-dua negeri itu berbeza dengan semenanjung.

Paul menyatakan beliau mengalu-alukan jaminan kerajaan untuk membincangkan perkara itu dengan komuniti Kristian yang sebelum ini kecewa tiada jalan penyelesaian diberi bagi mengatasi masalah ini sepenuhnya.

"Tetapi, sebenarnya, sebelum ini keterbukaan (kerajaan) untuk berdialog dan berbincang tiada masalah; ia hanya bila nak melaksakanakan apa yang dijanjikan, untuk memberi kesan terhadap jaminan kebebasan agama yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, itu yang menjadi masalah," kata beliau.

"Bila Mahkamah Tinggi menetapkan Kristian mempunyai hak menggunakan kalimah Allah dan penggunaannya tidak membawa masalah keselamatan negara, rayuan Kementerian Dalam Negeri untuk menentang keputusan tersebut menghantar isyarat bertentangan kepada komuniti Kristian," terang beliau.

Menurut Paul lagi mana-mana intepretasi bahawa 'formula 10 perkara' yand dicanangkan Idris, dan diikuti perbincangan pemimpin gereja dan Najib semalam memberi penyelesaian terhadap isu ini hanyalah 'kejayaan politik.'

"Pemimpin Kristian mahukan penyelesaian sepenuhnya isu ini, bukan sesuatu yang sesuai mengikut keadaan sekarang. Satu-satunya penyelesaian berterusan dalam hal ini ialah tidak membezakan Kristian di kedua-dua bahagian di Malaysia. (Penyelesaian) lain tidak dapat diterima sama sekali," ulang Paul.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan