KUCHING 14 APRIL : Rasuah, penyelewengan kuasa dan rampasan tanah adat menafikan rakyat Sarawak memperolehi pendapatan bulanan yang lebih tinggi, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Justeru beliau menggesa pengundi Sarawak untuk beralih kepada Pakatan Rakyat yang berjaya menguruskan dua negeri utama Malaysia – Selangor dan Pulau Pinang dengan baik lagi telus.
Khalid berkata dengan hanya mengekang rasuah dan pemberian kontrak kepada kroni di Selangor, kerajaan pimpinannya membiayai pemberian air percuma serta beberapa skim lain untuk warga emas dan generasi muda di negeri itu.
Berucap pada ceramah di Satok, Khalid mengajak rakyat Sarawak mengimbau kekayaan yang dibolot oleh pemimpin-pemimpin BN selama 40 tahun yang lalu.
"Kekayaan sumber asli Sarawak boleh diterjemahkan untuk manfaat rakyat Sarawak yang telah menanti lebih daripada 40 tahun." kata Khalid kepada lebih 3,000 penduduk kawasan berkenaan.
"Bayangkan bagaimana pengurusan harta-harta di Sarawak boleh dibuka kepada rakyat, jika kontrak tidak diberi kepada segelintir kroni tanpa melalui proses tender," kata Khalid.
Khalid menegaskan pengurusan tanah di Sarawak, jika dilaksanakan secara cekap, sudah cukup untuk menganjakkan rakyat Sarawak kepada tahap yang lebih mewah berbanding Selangor.
Ini kerana Sarawak jauh lebih kaya berbanding Selangor dalam sumber asli.
Khalid menganggarkan keluasan tanah Sarawak adalah lebih 100 juta hektar dengan dua juta penduduk.
"Katakanlah jika sejuta rakyat Sarawak, diberi sepuluh ekar tanah kelapa Sawit, (bererti)setiap keluarga akan memperolehi pendapatan lebih kurang RM10 ribu satu bulan," tambah beliau.
Khalid berkata, perkara pertama dilakukan oleh Pakatan Rakyat selepas menubuhkan kerajaan yang baru di Selangor adalah menghentikan amalan kronisme para pemimpin Barisan Nasional, khususnya Umno.
"Saya lihat penswastaan air di Selangor tidak memihak kepada rakyat. Keuntungannya telah dinikmati atau dalam perkataan lain sudah dirompak oleh kroni Umno.
"Saya menyiasat aset air di negeri Selangor yang tidak dimaksudkan dalam buku penswastaan. Kenapa aset-aset air Selangor termasuk paip-paip, pusat pembersihan (rawatan) air, dan dam-dam tiada dalam penyata kira-kira kerajaan negeri.
"Rupa-rupanya ia disimpan kosong (tanpa diaudit) jadi saya panggil akauntan dan buat penilaian," ujarnya disambut tepukan hadirin yang hadir.
Khalid berkata audit yang dijalankan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat mendapati kerajaan sebelumnya tidak mengambil kira asset air bernilai lebih RM10 bilion ketika menswastakan pengurusan air negeri itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan