Khamis, 14 April 2011

Kecoh Al-Kitab: Najib Berjanji Tidak Akan Berulang, Menteri KDN Sepatutnya Letak Jawatan


  

Najib janji isu KDN tahan Alkitab tidak akan berulang

KUCHING, 13 April – Dalam usaha meredakan isu Alkitab, Datuk Seri Najib Razak mengadakan pertemuan, yang dilihat sebagai sesuatu yang agak luar biasa, dengan pemimpin-pemimpin gereja di Sarawak sambil memberi jaminan peribadi bahawa pentadbirannya tidak akan menahan kitab Injil versi Bahasa Malaysia itu.

Pertemuan ini diadakan 10 hari selepas Putrajaya mengumumkan penyelesaian 10 formula dan tinggal tiga hari sebelum hari penentuan pilihan raya negeri Sarawak.

Perdana Menteri mengadakan pertemuan lebih sejam bersama Persatuan Gereja Sarawak di Hotel Hilton di sini petang ini, dengan memfokus pada isu Alkitab yang berpanjangan, yang dikhuatiri boleh menghakis sokongan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri kali ini.


Pengundian pilihan raya negeri ke-10 berlangsung Sabtu ini.

Menurut setiausaha agung persatuan itu, Head Elder Ambrose Linang, ini kali pertama seorang perdana menteri secara peribadi mengadakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin gereja di Sarawak, negeri yang mempunyai ramai masyarakat Kristian.

Bagaimanapun menurut beliau, perdana menteri telah mengelak isu politik ketika pertemuan hari ini, sebaliknya menjuruskan perbincangan berkaitan dengan pertikaian Alkitab yang menjadi perhatian komuniti Kristian.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Seri Idris Jala memberitahu, pertemuan hari ini menunjukkan keikhlasan Najib dalam menyelesaikan isu yang dibangkitkan oleh komuniti Kristian.

Jala, seorang Kristian, bertindak sebagai perantara antara komuniti Kristian dan kerajaan dalam kemelut berkaitan Alkitab ini.

“Najib telah menyatakan dengan jelas komitmen beliau berhubung isu menahan Alkitab, ia tidak harus berulang lagi. Saya merasakan beliau telah menegaskan (perkara itu).

“Beliau juga bercakap mengenai keperluan penyatuan nasional. Jika ada sebarang rasa singgung yang wujud di kalangan kita sebagai masyarakat yang kelainan kaum dan agama, adalah penting kita mencari jalan untuk bersatu semula,” kata Jala kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Najib tidak bercakap kepada pemberita kerana bergegas ke satu majlis yang lain.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengadakan pertemuan dengan pemimpin persatuan itu semalam.

Ulasan GB

Kekecohan bermula kerana berulangnya kejadian penahanan Al-Kitab Alkitab oleh Kementerian Dalam Negeri. Kali ini penahanan Alkitab berlaku di Pelabuhan Kuching, Sarawak. Sebanyak 30,000 naskah yang ditulis di dalam bahasa Malaysia ditahan.

Meskipun kerajaan telah menyatakan pendirian mereka di dalam menghalang penggunaan kata “Allah” di dalam Alkitab namun kerajaan telah memberikan jaminan bahawa Alkitab Bahasa Malaysia adalah bebas digunakan sekurang-kurangnya di Sabah dan Sarawak. Sejak Mac 2009, semua percubaan untuk mengimport Alkitab Bahasa Malaysia sama ada melalui Pelabuhan Klang atau Pelabuhan Kuching menemui kegagalan.

Sebelum ini 5,000 naskah Alkitab yang diimport pada Mac 2009 masih ditahan oleh KDN di Pelabuhan Klang. Setelah rayuan berulang kali dilakukan oleh beberapa menteri Kabinet, Perdana Menteri akhirnya membuat keputusan untuk melepaskan Alkitab yang ditahan di Pelabuhan Klang pada Disember 2009. Namun masih ada 5,000 naskah Alkitab yang masih kekal ditahan.

Apa yang nyata tindakan Kementerian Dalam Negeri tersebut telah menyebakan umat Kristian merasa marah dan bosan dengan kerajaan sehinggakan Idris Jala pula(seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri yang beragama Kristian) terpaksa berulangkali mengeluarkan kenyataan bagi menjadi orang tengah di antara pihak kerajaan dengan pihak gereja.

Siapakah Menteri Dalam Negeri sekarang ini?

Bukankah patut beliau meletakkan jawatannya?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan