Ahad, 27 Mac 2011

Antara ayam penyet, mi kolok

Ahmad Naim Tahir

27 MAC — Analogi makanan popular patut dijadikan sandaran pengundi pilih parti dekat pada rakyat
Selain ikan terubuk masin, sesiapa saja ke Sarawak mesti mencuba makanan kebanggaan rakyat Bumi Kenyalang, dipanggil mi kolok. Tidak susah mencari hidangan istimewa ini kerana di merata tempat, ada saja gerai menjualnya. Mi kolok atau dalam bahasa Iban disebut mi rangkai adalah mi yang direbus, kemudian dihidangkan dengan bawang putih, bawang merah serta hirisan daging, namun ada pelbagai cara olahannya, bergantung kepada selera. Hampir di setiap sudut kota Kuching, anda pasti bertemu penjual mi kolok dengan bermacam rasa. Sebelum beberapa tahun lalu, boleh dikatakan mi kolok langsung tiada saingan, statusnya ibarat raja segala hidangan. Namun, kini mi kolok ada pencabarnya, bukan resipi tempatan, tetapi dibawa masuk dari negara jiran, namanya ayam penyet, asalnya dari Indonesia.
Seperti lawannya, berterabur juga gerai menjual ayam penyet sekitar Kuching. Ada yang menjual secara kecil-kecilan atau sederhana di medan selera atau benteng seperti di Satok, ada juga restoran besar dan terkenal seperti di belakang Bangunan MARA di ibu negeri Sarawak.
Pengaruh ayam penyet semakin meluas, bukan saja di Sarawak, malah di Semenanjung dan juga Singapura. Kebanyakan peniaga hidangan ini mendakwa versi ayam penyet mereka adalah gaya asli Indonesia atau yang terbaik.
Mengikut cerita, ayam penyet didakwa berasal dari Surabaya, kota kedua terbesar di Indonesia. Uniknya hidangan ini adalah kerana daging ayam dipenyek sebelum dihidangkan dalam bentuk goreng bersama sambal dan beberapa jenis sayur. Seorang kenalan di Kuching membuat pengakuan sudah ketagih dengan ayam penyet. Sekurang-kurangnya sekali seminggu mesti menjamah hidangan itu.
Memang logik jika diperhatikan susuk tubuhnya yang semakin berisi. Baginya sekarang, antara mi kolok dan ayam penyet, pilihannya adalah juadah yang kedua itu.
Boleh dikatakan ayam penyet memang jadi kegilaan di Sarawak sekarang hingga di kawasan pedalaman seperti Serikin pun, ada dijual juadah itu. Seorang rakan media dari Semenanjung yang bertugas membuat liputan menjelang pilihan raya negeri itu boleh dikatakan menjadikan ayam penyet menu wajib.
Rasanya lebih ramai lagi akan mengikut jejak langkah rakan itu sepanjang musim pilihan raya ini. Makin bertambahlah rezeki peniaga ayam penyet di Sarawak walaupun harga ayam sekarang agak tinggi.
Selagi ada permintaan, ambillah kesempatan kerana tiada siapa dapat memberi jaminan ayam penyet mampu bertahan. Mungkin kita masih ingat fenomena ayam golek suatu ketika dulu, penuh sepanjang bahu jalan dan pasar malam dengan gerai ayam golek, tetapi kini sudah sukar ditemui.
Ada pula mengibaratkan ayam penyet seperti parti politik tertentu, munculnya bermusim, apatah lagi kerana asalnya dari luar, tidak mungkin mampu memenuhi selera orang tempatan buat selama-lamanya. Telahan itu mungkin betul, mungkin juga tersasar.
Begitu juga dengan pilihan raya negeri Sarawak ini, banyak parti dari luar, lebih tepat lagi pangkalan utamanya di Semenanjung mahu mengambil alih kuasa daripada gabungan parti politik yang benar-benar berakar umbi di dalam negeri.
Untuk rekod, daripada empat parti pembangkang yang mahu bertanding pada pilihan raya kali ini, hanya Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) yang benar-benar parti tempatan, sedangkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP semuanya beribu pejabat di Semenanjung.
Lain kisahnya dengan Barisan Nasional (BN) kerana gabungan empat komponennya, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS), semua parti tempatan dan pemimpinnya mempunyai hubungan baik dengan kepemimpinan BN Pusat.
Hasil hubungan baik itu, Sarawak tidak pernah diabaikan, peruntukan demi peruntukan disalurkan dari Kuala Lumpur untuk melaksanakan pelbagai projek demi kepentingan rakyat.
Yang terbaru pada Sabtu minggu lalu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri mengumumkan peruntukan lebih RM250 juta. Peruntukan sebesar itu hanya untuk penduduk Serian dan
Tebedu saja bagi melaksanakan pelbagai projek infrastruktur di kawasan berkenaan.
Ada pula tambahan RM90 juta untuk pembinaan Jalan Terbat-Mapu dan Munggu Kopi, masing-masing bernilai RM30 juta dan RM60 juta. Bayangkan pula betapa besar peruntukan yang sudah disalurkan kepada Sarawak selama ini.
Apa yang pasti, komitmen itu tidak akan berubah seperti dijanjikan Najib sendiri yang memberi jaminan nasib dan kebajikan rakyat Sarawak akan terus dibela selagi BN diberi mandat mentadbir pada pilihan raya negeri ke-10, 16 April ini.
Iltizam itu tidak pernah dan tidak akan berubah walaupun kepemimpinan negeri nanti bakal bertukar ganti. Janji Perdana Menteri, BN tidak akan sekali-kali lari dan membiarkan Sarawak terkontang kanting sendiri.
Lalu apa lagi yang dicari-cari kerana BN bukan pedagang janji, ada sejarah dan rekod jika mahukan bukti. Bukan setahun dua juga usianya, tetapi sudah cemerlang sejak merdeka dan sentiasa setia membela nasib semua warga.
Bukan mudah mahu mencari gabungan parti yang sejiwa, senada untuk bersepakat mentadbir negara walaupun setiap satu mewakili kepentingan kumpulan rakyat berbeza bangsa dan agama.
Janganlah kerana marahkan nyamuk seekor, habis kelambu dibakar. Jangan juga kerana terlalu asyik dengan keenakan ayam penyet, mi kolok yang banyak berjasa menaikkan nama Sarawak terus dilupakan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan